• Azman kecewa harga timun terlalu rendah menyebabkannya terpaksa menanggung kerugian yang tinggi.Azman kecewa harga timun terlalu rendah menyebabkannya terpaksa menanggung kerugian yang tinggi.
< 1 / 1 >

SABAK BERNAM – Seorang pengusaha tanaman timun di Kampung Batu 23 Sungai Nibong di sini, mengeluh berikutan kejatuhan harga sayuran itu yang dijual kepada pemborong pada harga jauh lebih rendah sejak awal Januari lalu.

Azman Zainal Abidin, 49, berkata, harga timun itu sebelum ini dijual paling rendah 60 sen sekilogram, bagaimanapun harga itu terus merosot apabila pemborong hanya membeli pada harga 30 sen sekilogram.

Malah katanya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) pula membeli timun pada harga 40 sen sekilogram hingga menyebabkan dia terpaksa menampung kos keseluruhan operasi termasuk kos upah pekerja.

“Macam mana saya nak tampung kos keseluruhan operasi sedangkan harga dibeli pemborong terlalu rendah. Kalau satu tan matrik timun dijual pada harga 30 sen sekilogram, saya hanya akan dapat pendapatan kasar RM300 sahaja,” katanya.

Menurutnya, selain kos upah pekerja yang dibayar RM20 seorang sehari kepada empat pekerjanya, dia juga terpaksa menghidupkan pemancut air tanaman dengan menggunakan minyak petrol pada harga RM20 sehari.

“Perkiraan ini tak termasuk kos baja dan racun yang mana saya terpaksa guna wang simpanan untuk tampung kos operasi. Situasi ini memang beri tekanan kepada petani kecil-kecilan macam saya,” katanya.

Azman berkata, pemborong dan Fama memberi alasan kejatuhan harga timun itu adalah disebabkan lambakan timun dari beberapa negeri selain permintaan tinggi terhadap timun import dari beberapa negara lain.

“Kerajaan diminta supaya kurangkan atau hentikan pengambilan timun import sebab boleh beri kesan kepada petani kecil-kecilan yang bergantung sepenuhnya kepada sumber pendapatan ini,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia hairan kerana timun di pasar dijual pada harga RM2 sekilogram, sedangkan petani yang mengerah keringat membanting tulang di kebun pula menerima harga jauh lebih rendah.

Sementara itu, Pengurus Fama Sabak Bernam, Nizaruddin Anuar berkata, Fama terpaksa mengambil harga 40 sen sekilogram memandangkan pekebun terbabit tidak menghantar surat perjanjian ladang kontrak.

“Selagi petani tak ada surat perjanjian ladang kontrak dan tidak mendapat kelulusan daripada Fama, mereka tak akan menikmati harga lantai timun iaitu 60 sen sekilogram,” katanya.

Bagaimanapun katanya, Fama telah menyediakan perjanjian ladang kontrak kepada petani terbabit dan perkara itu dijangka selesai dalam minggu ini dan petani terbabit akan dibayar mengikut harga lantai bermula minggu depan.

Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan penurunan harga timun berlaku disebabkan lambakan timun dari beberapa negeri seperti Melaka dan Negeri Sembilan selain timun import dari China dan Thailand memasuki pasaran di negara ini.