Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

23 Feb 2015 : 'Anak hilang kasih sayang ibu'

  • Anak hilang kasih sayang ibu
< 1 / 1 >

SABAK BERNAM – Seorang nelayan tidak dapat melupakan saat sedih apabila ulang tahun perkahwinannya yang ke-13 semalam sempena Tahun Baharu Cina dengan seorang wanita warga asing membawa lembaran duka dalam kehidupannya dan empat orang anak.

Luey Wan Ho, 42, hanya sempat menikmati kehidupan bahagia bersama isterinya, Wong (bukan nama sebenar), 35, sementara sahaja selepas wanita warga Indonesia itu melarikan diri dengan kekasih hatinya sejak tujuh tahun lalu.

Menurutnya, dalam tempoh itu juga, keempat-empat anaknya terutama yang masih bongsu berusia tiga bulan ketika ditinggalkan hilang kasih sayang seorang ibu yang disifatkannya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan masa depan anak-anak.

“Kami melalui tempoh perkahwinan yang bahagia, namun saya tak tahu kenapa dia mudah berubah sikap hingga tergamak meninggalkan saya dan empat orang anak untuk hidup dengan lelaki lain,” katanya dengan perasaan kesal.

Wan Ho berkata, sejak pemergian isterinya itu, empat anaknya iaitu Luey Soon Kit, 12; Luey Jia Yi, 11; Luey Soon Huak, 10 dan Luey Soon Wong, 8, dipelihara ibu dan bapanya di Kampung Bagan Simpang Pulai.

“Anak tinggal bersama ibu dan bapa di kampung. Saya pula tinggal di Kuantan kerana bekerja di sana. Bila direnung nasib hidup, saya akui amat sedih setiap kali mengenangkan nasib anak-anak yang tak dapat kasih sayang sepenuhnya daripada ibu mereka,” katanya.

Wan Ho berkata, peristiwa itu amat memberi kesan mendalam terhadap dirinya apatah lagi terpaksa berhabis wang kira-kira RM12,000 untuk berkahwin dengan wanita warga asing itu.

Katanya, dia juga tidak tahu sampai bila keempat-empat anaknya itu akan terus tinggal dengan kedua ibu bapanya di Bagan memandangkan mereka juga semakin tua sedangkan anak-anaknya masih kecil.

“Nak kahwin pun kena fikir dua tiga kali sama ada isteri baharu sanggup untuk jaga dan beri kasih sayang sepenuhnya terhadap anak saya,” katanya.

Menurutnya, sikap isterinya itu membuatkannya ‘patah hati’ untuk menerimanya kembali, namun tidak menghalang jika Wong ingin bertemu dengan anak-anaknya agar pertalian darah antara mereka tidak terputus.

“Dia berhak untuk menjenguk anak-anak, tapi saya tak izinkan kalau dia ingin mengambil mereka tinggal bersamanya. Cukuplah derita yang kami tanggung selama ini, biarlah dia dengan kehidupannya asalkan tidak menyusahkan kami buat kali kedua,” katanya.


Kemaskini pada 2015-02-23 10:43:16 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page