SABAK BERNAM – Kegiatan sekumpulan penjenayah dikenali sebagai ‘geng memek’ yang aktif dalam kegiatan mencuri kenderaan sekitar kawasan Sekinchan tumpas selepas polis berjaya memberkas tiga individu dipercayai dalang dalam kejadian berkenaan sejak sembilan bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, penahanan tiga lelaki berusia 26 dan 31 tahun itu berjaya membongkar kepada penemuan empat kereta curi iaitu dua Proton Wira, Perodua Kancil dan Proton Waja.

Menurutnya, tangkapan itu dijalankan hasil risikan dan pemantauan sepasukan pegawai dan anggota polis daripada ‘Team Task Force’ pada Ops Lejang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.

“Berdasarkan maklumat suspek pertama berusia 31 tahun, sebuah kereta yang dicuri disimpan di belakang Taman Tanjong Karang, selain sebuah Perodua Kancil yang digunakan suspek kedua di sebuah rumah di Jeram, Kuala Selangor.

“Hasil pemeriksaan polis mendapati, kenderaan terbabit adalah kenderaan yang dilaporkan hilang berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh beberapa mangsa di Balai Polis Sekinchan,” katanya.

Nor Azmi memberitahu, polis yang menjalankan siasatan terhadap tiga suspek mendapati kesemua mereka mengaku terlibat dalam kes kecurian kenderaan selain membawa kepada penahanan empat lagi rakan mereka yang lain.

“Kami turut menahan empat suspek lelaki berusia lingkungan 28 hingga 60 tahun termasuk seorang pembeli kenderaan curi tersebut,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, polis juga menemui beberapa komponen besi kenderaan seperti tayar motosikal, rangka besi hadapan kereta, besi bumbung dan beberapa lagi komponennya yang lain.

Katanya, hasil semakan pihaknya mendapati suspek pertama itu memiliki empat rekod kesalahan jenayah melibatkan kecurian kenderaan di samping beberapa kesalahan penyalahgunaan dadah.

Katanya, keenam-enam suspek ditahan dan direman selama enam hari bermula dari tarikh tangkapan.

“Suspek ketiga didapati memiliki satu rekod kesalahan jenayah curi motosikal, manakala suspek kedua tidak memiliki rekod lampau,” ujarnya.

Beliau memberitahu, siasatan kes itu dijalankan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan (KK) dan 411 KK serta 414 KK kerana mencuri kenderaan, memiliki kenderaan curi dan melupuskan barangan curi.