Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

12 Sept 2015 : Penganggur tidak serik

Penganggur tidak serik
Nor Azmi (dua, kiri) bersama pegawainya menunjukkan dadah jenis heroin seberat 128.7 gram dianggarkan bernilai RM1, 200.


SABAK BERNAM - Seorang penganggur yang baru tujuh bulan keluar dari penjara ibarat tidak serik apabila sekali lagi dicekup polis kerana didapati memiliki dadah jenis heroin seberat 128.7 gram dianggarkan bernilai RM1, 200, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, lelaki berusia 40 tahun itu sebelum ini di bawah pengawasan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK), telah ditahan di rumah ibu saudaranya kerana memiliki dua paket plastik lutsinar dadah heroin.

Beliau berkata, suspek yang berada di sebuah rumah di Kampung Baru Sungai Labu, Sekinchan dicekup sepasukan polis diketuai Ketua Balai Polis Sekinchan, Inspektor Abdul Rahman Khalid bersama lima anggotanya, kira-kira jam 2 petang.

“Hasil maklumat orang awam, polis menjalankan pemeriksaan di rumah itu dan telah menemui dadah jenis heroin yang diletakkan di dalam sebuah beg sandang yang dipakai suspek,” katanya.

Nor Azmi memberitahu, polis yang menjalankan siasatan di luar rumah turut menemui sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z yang dipercayai dicuri suspek sejak dua bulan lalu bersabit laporan polis berhubung kes kehilangan motosikal yang dilaporkan di Balai Polis Tanjong Karang.

“Motosikal terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam dan kami akan serahkan ke Balai Polis Tanjong Karang untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Suspek yang masih bujang menumpang di rumah makciknya sejak keluar dari penjara dan dipercayai menjalankan kegiatan mengedar dadah di Sekinchan dan kawasan berhampiran,” katanya.

Katanya, hasil ujian air kencing yang dijalankan mengesahkan suspek positif dadah jenis morfin dan akan direman tujuh hari bermula semalam hingga Khamis depan.

Suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.


Kemaskini pada 2015-09-15 15:05:34 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page