Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

21 Okt 2015 : ‘Saya tetap tunggu dia pulang’

‘Saya tetap tunggu dia pulang’
Wan Zainab bersama-sama dua anaknya menunjukkan laporan polis dan gambar Asmizah selepas kehilangan gadis itu pada 28 Julai lalu. Gambar kecil: Asmizah


BAGAN NAKHODA OMAR – “Naluri keibuan saya kuat mengatakan dia masih hidup, walau lama mana pun saya tetap menanti kepulangannya,” kata seorang ibu, Wan Zainab Wan Zainol, 54, selepas anaknya,  Asmizah Hanim Abu, 18, masih belum ditemui sehingga hari ini.

Wan Zainab berkata, biarpun hampir tiga bulan anaknya itu menghilangkan diri, tetapi dia yakin Asmizah dalam keadaan selamat dan berharap agar anaknya itu dibukakan pintu hati untuk kembali ke pangkuan keluarga.

Menurutnya, setiap kali telefon bimbitnya berbunyi, dia berharap agar Asmizah menghubunginya, namun hampa apabila masih belum menerima khabar berita tentang kehilangan ‘misteri’ anak gadisnya itu.

“Sampai sekarang saya masih tak tahu di mana Asmizah. Memang tak ada apa-apa maklumat tentang dia. Puas saya hubungi nombor telefonnya, tapi tak pernah dapat. Tapi saya yakin dia masih hidup,” katanya.

Sinar Harian pada 1 Ogos lalu melaporkan, Asmizah disyaki hilang pada 28 Julai lalu di rumahnya di Simpang 4 Bagan Nakhoda Omar selepas mengikut seorang lelaki tidak dikenali menaiki sebuah kereta Perodua Viva kira-kira jam 12.30 tengahari.

Wan Zainab berkata, sejak kehilangan anaknya itu, kesihatannya juga terganggu dan pernah beberapa hari ditahan di wad Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam akibat penyakit darah tinggi yang dihidapinya.

Selain itu, katanya, pelbagai ikhtiar dilakukan untuk mencari Asmizah termasuk membuat laporan polis, selain mencarinya di sekitar Damansara dan Kuala Lumpur.

“Hairan juga sebab sampai sekarang Asmizah tak dapat dikesan. Rakan-rakan baik Asmizah pun tak tahu ke mana dia pergi. Merata tempat dah cari, tapi tak ditemui.

“Kalau ada sesiapa lelaki yang nak kahwin dengan Asmizah sekali pun kami tak larang, cuma kami harap pihak terbabit bincang dengan kami baik-baik. Janganlah larikan anak kami. Saya rayu, tolonglah pulangkan dia semula kepada kami,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, dia merayu kepada mana-mana individu yang ternampak kelibat anaknya itu berkongsi maklumat dan menghubungi seorang lagi anaknya, Abdullah Sani Abu di talian 0142210125 atau hubungi balai polis terdekat.


Kemaskini pada 2015-10-26 14:23:56 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page