Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

6 Nov 2015 : Guru Kafa harap tunggakan dibayar

SABAK BERNAM – Pertubuhan Guru Kafa (PGK) Daerah Sabak Bernam berharap kerajaan negeri menimbang pemberian tunggakan RM200 sebulan kepada semua guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) selepas Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengumumkan kenaikan elaun guru itu di negeri ini.

Pengerusinya, Suparman Sadikan berkata, elaun guru Kafa sebanyak RM1,300 sepatutnya dinaikkan kepada RM1,500 sebaik sahaja Pakatan Rakyat (PR) mengekalkan pentadbiran di Selangor selepas memenangi PRU13 lalu.

Bagaimanapun katanya, kenaikan elaun itu lewat dan hanya dapat dilaksanakan setelah lebih dua tahun pentadbiran kerajaan negeri dan berharap agar tuntutan itu memenuhi segala janji manifesto dalam PRU13.

“Jika tak dapat tunggakan elaun bererti masih ada janji yang belum ditunaikan. Kalau tak dapat pada 2014, kita harap tunggakan untuk tahun ini pun tak apalah,” katanya.

Suparman memberitahu, pihaknya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri yang memandang serius desakan yang dibuat guru Kafa yang berterusan menuntut supaya kenaikan elaun itu disegerakan.

“Kenaikan ini atas perjuangan guru Kafa yang menuntut kenaikan elaun hingga salah seorang daripada guru ini dipecat demi menuntut elaun yang dijanjikan.

“Kami amat hargai apabila kerajaan negeri memandang serius perkara ini dan bersetuju menaikkan elaun bermula tahun depan,” katanya.

Pengerusi Jemaah Pengurusan Sekolah Kafa Integrasi At-Tarbiah Ad-Dinniah Kampung Teluk Rhu, Abdullah Hassan Ikhsan berkata, kerajaan negeri telah menunaikan janji mereka kerana kenaikan itu dibuat semasa dalam tempoh mandat PRU-13 dan bukan selepas PRU14.

“Walaupun lambat, tetapi janji dah tertunai kerana biasanya janji politik tak boleh tertunai pada masa itu kerana mereka perlu melihat juga sumber kewangan kerajaan negeri sebelum dapat dilaksanakan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, adalah lebih baik tunggakan itu diberi, bagaimanapun bergantung kepada sumber kewangan kerajaan negeri.

“Kalau dibayar tunggakan adalah lebih baik, tapi tak bayar pun tak apa sebab janji dah dilunaskan.

Ujarnya, rata-raya guru Kafa menjadikan pekerjaan itu sebagai kerjaya dan mengharapkan elaun itu dapat menampung perbelanjaan seiring dengan bebanan kos sara hidup pada masa sekarang.

“Kenaikan elaun ini diharap beri semangat dan motivasi kepada semua guru untuk mengajar dan mendidik anak murid supaya prestasi akademik dan akhlak murid dapat ditingkatkan dari masa ke semasa,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2016, Mohamed Azmin mengumumkan kenaikan elaun guru Kafa sebanyak RM200 iaitu daripada RM1, 300 kepada RM1, 500 dengan implikasi kewangan sejumlah RM18.71 juta.

Mohamed Azmin berkata, kenaikan elaun itu melibatkan seramai 6, 900 guru Kafa di seluruh negeri ini serta melibatkan 150 guru di Kafa Integrasi yang dinaikkan elaun daripada RM800 kepada RM1,500 melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM1.41 juta.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut akan menaikkan elaun Ketua Guru daripada RM100 kepada RM150, Elaun Penolong Kanan Akademik dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) dinaikkan sebanyak RM80.


Kemaskini pada 2015-11-18 12:32:35 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page