SABAK BERNAM – Kerja-kerja menaik taraf dan pelebaran jalan persekutuan dari Sabak Bernam hingga ke Hutan Melintang, Perak daripada dua lorong kepada empat lorong menelan belanja kirakira RM155 juta.

Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh berkata, kerja pelebaran jalan itu bermula dari lampu isyarat berhadapan Balai Polis Sabak Bernam hingga ke Hutan Melintang dengan jarak perjalanan sejauh 12 kilometer (km). Menurut beliau, segala perancangan dan pelan lukisan pelebaran jalan itu sudah siap sepenuhnya dan dijangka kerja menaik taraf itu akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Jalan kiri dan kanan di (Jalan Persekutuan) Sabak Bernam akan dibesarkan menjadikan empat lorong berbanding dua lorong pada masa sekarang, selain akan dibina jejambat bermula dari Sekolah Agama Menengah (SAM) Muhammadiah,” katanya.

Mohd Fasiah berkata, selain projek menaik taraf Jalan Persekutuan, kerajaan menerusi peruntukan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) memperuntukkan sebanyak 1.2 bilion bagi melaksanakan projek Lebuh Raya Pantai Barat (LPB).

“Projek LPB ini akan melalui Jalan Ban Kanal terus melalui Teluk Intan hingga ke Taiping dan ia dijangka siap sepenuhnya pada 2018,” katanya.

Beliau memberitahu, pembinaan jajaran sejauh 233 kilometer itu dapat mengatasi masalah kesesakan di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) dalam jangka masa panjang.

Jelasnya, dengan pembinaan lebuh raya itu ia dijangka dapat merancakkan pembangunan dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi terutama di Sabak Bernam kerana adanya sistem lebuh raya yang efisien dan jarak perjalanan yang lebih dekat.

“Selepas ini, penduduk di Sabak Bernam yang ingin ke Kuala Lumpur mungkin boleh sampai dalam masa sejam sahaja berbanding lebih dua jam sebelum ini,” katanya.