Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

16 Nov 2015 : Sampai terbantut selera makan

Sampai terbantut selera makan
Budiman (tiga, kanan) dan Gek Kee (dua, kanan) bersama-sama penduduk menunjukkan longkang tersumbat yang tidak diselenggara sejak sekian lama selain longkang konkrit yang pecah akibat dilanggar kenderaan berat.


SUNGAI BESAR – Kira-kira 30 penduduk di Jalan 4 Bagan Sungai Besar, di sini, menderita apabila terpaksa menghidu bau busuk setiap hari akibat longkang hadapan rumah mereka tersumbat.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Bagan Sungai Besar, Eng Gek Kee berkata, longkang berpenutup konkrit sepanjang 800 meter itu tidak pernah diselenggara sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) yang menyerahkan tanggungjawab melaksanakan kerja menaik taraf longkang itu kepada kontraktor terlibat seolah-olah ‘lepas tangan’ sebaik sahaja projek itu siap dibina.

“Kerja penyelenggaraan longkang sepatutnya dijalankan secara berjadual atau sebulan sekali, tapi malangnya longkang ini tak pernah dibersihkan sejak mula pembinaannya hinggalah ke hari ini (semalam),” katanya kepada Sinar Harian.

Gek Kee berkata, keadaan menjadi lebih teruk semasa dan selepas hujan kerana bau busuk akan bertambah kuat hingga ada penduduk hilang selera menjamah makanan di rumah.

Menurut beliau, jalan yang sentiasa sesak dengan kehadiran pelbagai jenis kenderaan terutama pada cuti hujung minggu itu mengakibatkan beberapa kepingan penutup konkrit longkang pecah akibat dilanggar kenderaan berat yang melalui jalan berkenaan.

“Penduduk selalu merungut bau busuk dari longkang ini. Air longkang yang tersumbat tak mengalir bertukar menjadi hitam dan mengeluarkan bau menjijikkan lebih-lebih lagi jika longkang tak berpenutup” katanya.

Selain itu, katanya, penduduk di kawasan berhampiran juga bimbang jika masalah itu jika tidak ditangani secara serius dikhuatiri menjadi sarang pembiakan aedes.

“Demi kesihatan dan keselamatan penduduk di sini, MDSB perlu turun padang membersih dan menyelenggara longkang tersumbat bagi mengelak penduduk menjadi mangsa terkena denggi,” katanya.

Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi yang meninjau permasalahan yang dibangkitkan penduduk berkata, masalah itu tidak sepatutnya dibiarkan berlarutan dan meminta supaya MDSB mengambil tindakan serius berhubung aduan berkenaan.

“Saya berharap dengan adanya kerja penyelenggaraan ini, longkang tak lagi tersekat kerana air dapat dialirkan terus dengan lebih lancar ke sungai berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan, MDSB akan mengulas aduan penduduk berhubung isu itu dalam masa terdekat.

 

Kemaskini pada 2015-11-18 12:51:48 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page