Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

17 Nov 2015 : Mohon naik taraf trek balapan

Mohon naik taraf trek balapan
Budiman (tiga, kiri) dan Noramin (dua, kiri) bersama-sama pengunjung lain menunjukkan keadaan permukaan trek balapan Stadium Sungai Besar yang tidak selamat digunakan berikutan diturap dengan batu kerikil.


SUNGAI BESAR – Penduduk dan pengunjung yang beriadah di Stadium Sungai Besar di sini, diancam risiko kecederaan selepas Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menurap trek balapan stadium itu dengan batu kerikil.

Seorang penduduk, Noramin Juminen, 34, berkata, trek balapan stadium itu pada asalnya menggunakan batu bitumen, namun diturap kepada batu kerikil bagi memberi laluan kepada penganjuran sukan motosikal di trek berkenaan.

Menurutnya, kerja-kerja penurapan yang dibuat kira-kira tiga tahun lalu itu menyebabkan keadaan permukaan trek balapan itu tidak sekata kerana dipenuhi batu-batu halus di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai beriadah.

“Sesiapa yang jatuh mungkin akan tercedera sebab permukaan trek balapan ini tak rata kerana diturap dengan batu kerikil berbanding kalau terjatuh pada batu bitumen,” katanya.

Menurut Noramin, MDSB seharusnya memandang serius kemudahan itu memandangkan terdapat lebih 100 pengunjung yang datang beriadah di situ pada waktu pagi dan petang.

“Saya sendiri datang ke stadium ini untuk bersenam tiga kali seminggu. Trek ini sepatutnya dinaik taraf semula kepada batu bitumen bagi memberi lebih keselesaan dan tak dibiarkan dalam keadaan daif.

“Jika MDSB tiada peruntukan baik pulih, kita berharap agar kerajaan negeri dan Majlis Sukan Negeri Selangor dapat menyalurkan peruntukan bagi kerja baik pulih trek balapan dan beberapa kemudahan yang lain,” katanya.

Selain masalah itu, katanya, dia juga pernah beberapa kali terserempak dengan sekumpulan anjing liar memasuki stadium ketika beriadah dan berharap agar perkara itu dipandang serius MDSB untuk tindakan yang sewajarnya.

“Biasanya saya nampak haiwan ini di tempat duduk penonton. Kita bimbang jika kumpulan anjing liar ini mencederakan pengunjung, takut nanti digigit anjing yang membawa penyakit anjing gila,” katanya.

Seorang pengunjung, Hing Shu Wing, 26, berkata, meskipun menetap di Kuala Lumpur, namun setiap hujung minggu dia akan pulang menziarahi keluarganya di Sungai Besar turut tidak melepaskan peluang untuk beriadah bersama keluarga di stadium itu.

“Keadaan trek ini amat membahayakan pengguna. Saya pun kalau nak lari kena hati-hati takut jatuh. Kalau nak dibandingkan stadium ini dengan bandar memang jauh ketinggalan, tapi harap soal keselamatan dapat dititikberatkan,” katanya.

Seorang pelancong Jerman, Jurgen berkata, keadaan trek balapan stadium itu tidaklah terlalu daif, tetapi mesti dinaik taraf untuk keselesaan dan keselamatan pengunjung yang datang beriadah.

“Trek ini masih dalam keadaan baik, cuma memerlukan penambahbaikan dari segi keselamatan penggunanya. Saya fikir, kalau dapat dibaik pulih, lebih ramai lagi akan datang ke sini untuk beriadah.

Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi berkata, berdasarkan aduan yang diterimanya, rata-rata pengunjung mengeluh mengenai isu keselamatan dan kualiti trek balapan yang memerlukan penambahbaikan selepas digunakan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk penganjuran sukan bermotosikal.

“Saya mempersoalkan kenapa MDSB boleh meluluskan penggunaan stadium ini kepada NGO terbabit? Sepatutnya trek balapan ini digunakan untuk acara olahraga dan padang sahaja dan tak boleh digunakan bagi tujuan yang boleh merosakkan struktur permukaannya,” katanya.

Justeru katanya, MDSB perlu mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah stadium itu dengan segera terutama dalam persiapan menjadi tuan rumah kepada Selangor bagi menghadapi saingan peringkat kumpulan perlawanan bola sepak Piala Emas Raja-Raja Jumaat ini.

“Ini kali kedua penganjuran kejohanan ini diadakan di Stadium Sungai Besar. Sepatutnya kualiti stadium ditingkatkan jika ada kejohanan besar seperti ini,” ujarnya.


Kemaskini pada 2015-11-18 12:53:33 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page