Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

25 Nov 2015 : Keliru paparan skrin ATM, CDM

Keliru paparan skrin ATM, CDM
Abu Talib menunjukkan penyata transaksi salah seorang pelanggan BSN yang ingin mengeluarkan wang tidak diterima apabila wang itu dipindahkan terus ke SSP.



SABAK BERNAM – PKR Cabang Sabak Bernam menggesa Bank Simpanan Nasional (BSN) memandang serius aduan pelanggan mereka berhubung paparan skrin Mesin Pengeluaran Automatik (ATM) dan Mesin Deposit Tunai (CDM) yang didakwa mengelirukan pelanggan.

Ketua Cabangnya, Abu Talib Bujang berkata, terdapat tiga aduan diterima pihaknya sejak seminggu lalu berhubung dakwaan pelanggan yang ingin mengeluarkan wang di ATM apabila wang itu secara tiba-tiba dipindahkan terus kepada pembelian Sijil Simpanan Premium (SSP).

Menurutnya, aduan itu diterimanya daripada seorang penuntut sebuah universiti swasta pada 21 November lalu apabila wang pengajiannya sebanyak RM1,600 yang ingin dikeluarkannya menerusi ATM BSN di Sabak Bernam dipindahkan terus ke SSP.

“Penuntut ini mengadu skrin ATM memaparkan arahan pengeluaran wang, tetapi apabila ditekan secara tiba-tiba wang itu tidak berjaya dikeluarkan dan terus dipindahkan bagi pembelian SSP,” katanya.

Abu Talib berkata, apabila perkara itu dimaklumkan kepada cawangan BSN di Sabak Bernam mereka memberitahu wang itu hanya dapat dikembalikan dalam tempoh 45 hari, melainkan jika berurusan di Ibu Pejabat BSN.

“Keadaan ini sudah tentu membebankan penuntut terbabit yang terpaksa mengeluarkan kos pengangkutan semata-mata untuk mendapatkan wang itu semula ke ibu pejabat BSN. Saya difahamkan, penuntut itu sudah mendapatkan semula wang terbabit semalam (kelmarin) ,” katanya.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa melalui pengalaman sama pada 14 November lalu kira-kira jam 2.39 petang apabila ingin mengeluarkan wang sebanyak RM400 gagal membuat transaksi apabila wang itu dipindahkan terus kepada SSP.

“Mangsa mempunyai baki wang sebanyak RM800 di dalam akaun BSN. Wang itu hendak digunakan bagi perbelanjaan harian, bagaimanapun terpaksa menunggu satu tempoh lama untuk mendapatkan semula wang berkenaan,” katanya.

Malah, katanya, terdapat satu aduan daripada seorang pelanggan dari Setiawan, Perak yang memasukkan wang sebanyak RM50 ke dalam CDM untuk dipindahkan ke dalam akaun pihak ketiga gagal dalam transaksi terbabit.

“Pelanggan itu mengadu wang CDM itu tak sampai kepada pihak ketiga, sebaliknya terus untuk pembelian SSP. Kita harap BSN peka dan mengambil berat masalah yang diutarakan pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan BSN akan mengulas mengenai perkara itu dalam masa terdekat.


Kemaskini pada 2015-11-25 11:50:01 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page