Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

9 Dis 2015 : Semarak semangat penyokong Red Giants

Semarak semangat penyokong Red Giants
Abdul Razak dan isteri menaruh harapan tinggi Selangor mampu mengembalikan zaman kegemilangan pasukan itu suatu ketika dahulu


SABAK BERNAM – Bahang kehangatan aksi final Piala Malaysia antara Selangor menentang Kedah, Sabtu ini, sememangnya amat dinantikan penyokong Red Giants yang ingin mengulangi kejayaan muncul juara pada 10 tahun lalu.

Ini pentas final pertama buat Selangor untuk memburu kejuaraan selepas kali terakhir melakukannya di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 2005 dengan menumpaskan Perlis 3-0.

Di Sabak Bernam, misalnya, kelab penyokong bola sepak Selangor, Sabak 6 Supporter teruja dan memasang harapan tinggi kepada anak buah Mehmet Durakovic untuk mengembalikan semula nostalgia lama mendakap piala berprestij itu buat kali ke-33.

Presidennya, Faizal Riza Abd Hadi berkata, final di Stadium Shah Alam bertemu Kedah juga detik terbaik buat Selangor untuk membalas dendam kekalahan 2-3 kepada skuad Hijau Kuning pada 2008.

“Perlawanan akhir ini ibarat misi balas dendam Selangor kepada pasukan sama selepas kami dikecewakan tujuh tahun lalu. Detik kekecewaan itu masih tersemat dalam jiwa kami hingga ke hari ini.

“Kami harap skrip sama tak berulang kali ini, sebaliknya Selangor akan mempamerkan permainan berkualiti untuk menjulang kejuaraan tahun ini,” katanya.

Yakin aura kemenangan

Faizal Riza berkata, penyokong setia di Sabak Bernam amat dahagakan kejayaan dan sudah tentunya mereka yakin pasukan sedia ada ini mampu mengembalikan semula aura Merah Kuning sebagai gergasi bola sepak suatu ketika dahulu.

“Jatuh bangun kami tetap setia bersama Selangor. Dah lama kami tunggu detik bersejarah ini. 10 tahun adalah satu tempoh yang panjang, jika ia dapat direalisasikan ini adalah hadiah bermakna pasukan kepada peminat,” katanya.

Ditanya tentang sejauh mana kemampuan Selangor dengan barisan pemain sedia ada, Faizal Riza memberitahu, meskipun pasukan itu tidak dikerumuni pemain bintang, namun yakin semangat berpasukan dan komitmen tinggi pemain Selangor mampu menewaskan juara Liga Perdana itu.

“Apa yang penting, mereka ini mesti konsisten dan bermain secara berpasukan. Saya berpendapat faktor ini juga dipengaruhi dengan pengurusan pasukan yang baik,” katanya.

Ditanya sejak bilakah menjadi peminat setia Selangor, Faizal Riza berkata, sokongannya terhadap pasukan fanatiknya itu bermula sejak dia dibawa bapanya untuk menyaksikan sendiri aksi pasukan Selangor.

“Bapa bukan saja membawa saya menyaksikan aksi di Stadium Shah Alam, malah saya juga dibawa ke stadium lawan,” katanya.

Mengulas lanjut tentang perlawanan akhir di laman sendiri, Fairul Riza berkata, Selangor mempunyai kelebihan, namun berharap agar pemain dapat menterjemahkan aksi memukau di hadapan puluhan ribuan peminat.

“Sebanyak 15 konvoi kereta dijangka akan bergerak dari Sabak Bernam ke stadium jam 2 petang Sabtu ini. Kami harap, Selangor dapat beri hadiah kemenangan bermakna kepada peminat setia mereka,” ujarnya.

Roti canai Red Giants

Pemilik Restoran Nasi Lemak SNS Sabak Bernam, Shah Nazim Ahmad Shamsi, 30, berkata, demi semangat dan sokongan keluarganya terhadap Selangor sejak dari dulu lagi, restorannya itu menghidangkan menu roti canai Red Giants.

Shah Nazim berkata, apa yang menarik, roti canai yang diuli dengan tepung itu mempunyai pilihan dua warna iaitu merah dan kuning melambangkan warna bendera bagi negeri Selangor.

“Restoran ini satu-satunya di Sabak Bernam yang menjual roti canai warna merah dan kuning. Ini membuktikan kepada pasukan Selangor bahawa kami sentiasa setia bersama pasukan Selangor tak kira masa dan ketika.

“Jiwa dan darah yang mengalir dalam tubuh kami sekeluarga adalah untuk menyokong pasukan kegemaran kami agar terus meraih pelbagai kejuaraan,” katanya.

Katanya, seramai enam pekerjanya juga akan ditaja untuk menyaksikan pentas akhir kejohanan tertua di rantau Asia itu bagi memastikan mereka juga diresapi dengan jiwa dan sokongan terhadap Selangor.

“Saya nak hargai pekerja dengan mengajak mereka untuk menonton aksi final ini. Walaupun saya tahu mereka peminat setia Selangor, tetapi inilah penghargaan majikan yang turut sama menyokong pasukan sama,” ujarnya.

Bagi pasangan warga emas, Abdul Razak Jasman, 70 dan Saodah Shariman, 60, mereka turut teruja, namun kudrat mereka untuk ke stadium membataskan hasrat peminat nombor satu pasukan Red Giants.

“Pakcik tengok (siaran langsung) kat rumah jelah. Nak ke stadium tak mungkin. Perlawanan ni mungkin mengimbau semula kenangan Selangor yang suatu ketika dulu muncul pasukan terbaik,” jelas Abdul Razak.


Kemaskini pada 2015-12-22 09:24:49 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page