Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

10 Dis 2015 : ‘Anak saya masih hidup’

‘Anak saya masih hidup’
Muhammad Alif mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala selepas merempuh belakang treler di Kilometer 56 Jalan Teluk Intan-Klang, petang kelmarin.



SABAK BERNAM – “Anak saya masih hidup... dia tak mati seperti mana yang tersebar dalam Facebook."

Demikian luahan seorang bapa, Sahran Abd Kadir, menafikan konon anak lelakinya,  Muhammad Alif Sahran, 19, meninggal dunia setelah terlibat kemalangan di Kilometer 56 Jalan Teluk Intan-Klang, di sini, petang kelmarin.

Sahran, 68, memberitahu, khabar angin di media sosial berkenaan tidak benar.

Bagaimanapun dia mengakui anak bongsu daripada tiga beradik itu kini sedang bertarung nyawa selepas dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

“Saya harap mereka tak buat andaian bukan-bukan... apa yang saya dan keluarga  amat perlukan kini adalah doa orang ramai agar anak kesayangan kami diberi kekuatan untuk meneruskan hidup.

"Soal ajal maut itu ketentuan ALLAH... sebagai manusia saya hanya mampu berdoa,” katanya.

Menurutnya, dia hanya mengetahui  kejadian kemalangan itu selepas Maghrib apabila dimaklumkan oleh orang awam yang mengetahuinya menerusi maklumat yang diterima daripada pihak Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

“Luluh jantung saya bila dengar anak kemalangan. Memang saya terkejut sebab  pun tak tahu dia ke mana waktu petang sebab sibuk di sawah. Mungkin dia ke rumah saudara atau kawannya di Sungai Besar,” katanya.

Sahran yang menetap di Taman Ria, Sekinchan berkata, sebaik mengetahui kejadian itu, dia bergegas ke HTAJ Sabak Bernam untuk melihat sendiri keadaan anaknya itu.

“Sehingga kini (jam 12 tengahari) dia masih kritikal. Dia dipindahkan sejak semalam dari HTAJ Sabak Bernam ke HTAR Klang untuk rawatan lanjut,” katanya sebak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, kejadian kemalangan itu berlaku kira-kira jam 3.30 petang kelmarin melibatkan sebuah motosikal dengan sebuah treler.

Penunggang motosikal (Muhammad Alif) dipercayai merempuh belakang sebuah treler yang mengalami kerosakan di bahu jalan berdekatan Peket 60 Sungai Besar.

“Akibat rempuhan kuat itu, mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan dibawa Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) ke HTAJ dan kemudiannya dipindahkan ke HTAR untuk rawatan lanjut.

“Hasil siasatan polis mendapati, mangsa tidak memakai topi kaledar semasa kejadian dan merempuh bahagian belakang sebuah lori yang memberhentikan kenderaannya di bahu jalan.

“Pemandu lori didapati tidak meletakkan tanda isyarat segi tiga kecemasan, sebaliknya hanya meletakkan daun pisang di belakang lori terbabit,” katanya.


Kemaskini pada 2015-12-22 09:27:34 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page