Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

14 Dis 2015 : Kejayaan misi 33 amat dinantikan

Kejayaan misi 33 amat dinantikan
Sebahagian penyokong Sabak Bernam bergambar di Stadium Shah Alam pada aksi final antara Selangor menetang Kedah yang menyaksikan Selangor menang 2-0 dalam perlawanan itu.



SABAK BERNAM – Kejayaan Selangor menyempurnakan misi 33 apabila menjuarai Piala Malaysia selepas menumpaskan Kedah, 2-0, pada aksi final malam kelmarin, sememangnya amat dinantikan peminat setia pasukan Merah Kuning.

Kejuaraan yang dilakar di Stadium Shah Alam nyata membawa tuah buat The Reds Giant untuk dinobat sebagai juara selepas kali terakhir memenangi piala berprestij itu pada tahun 2005 dengan menumpaskan Perlis 3-0.

Penyokong Selangor di Sabak Bernam beranggapan kejayaan yang diraih anak buah Mehmet Durakovic itu disifatkan mereka adalah hadiah paling bermakna kepada seruh rakyat di negeri ini terutama ia diraih sehari selepas Ulang Tahun Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Jumaat lalu.

Sabak 6 Supporter selaku penyokong setia Selangor berkongsi detik bersejarah itu apabila mereka turut berkonvoi sejauh 120 kilometer dari Sabak Bernam ke stadium keramat itu bagi menyaksikan pasukan kesayangan menebus aib di tangan pasukan sama pada 2008.

Imbau kenangan 2008

Seorang ahli kelabnya, Shah Nazim Ahmad Samsi, 30, berkata, peristiwa ke stadium itu mengimbau semula kenangan pada 2005 ketika masih remaja berkonvoi bersama rakan penyokong hanya menunggang motosikal.

“Jiwa dan sokongan saya kepada Selangor tak pernah luntur. Kalau dulu naik motosikal sekarang berkereta ke stadium semata-mata nak saksikan Selangor cipta sejarah,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Shah Nazim, terdapat kira-kira 32 penyokong pasukan gergasi merah dari daerah itu berkumpul sejak jam 2 petang kelmarin di Taman Muhibbah, Sabak Bernam.

“Konvoi penyokong Selangor ke stadium melibatkan sembilan kereta termasuk dua dari Ampang dan tujuh motosikal. Kami tiba kira-kira jam 3.30 petang dan mula memasuki stadium sejak jam 4 petang lagi,” ujarnya.

Kata Shah Nazim, suasana bertambah meriah ketika berada di stadium itu apabila penyokong kedua-dua pasukan saling bersorak memberikan sokongan semangat kepada pasukan masing-masing.

“Saya dapat rasa suasana sama seperti 10 tahun lalu apabila semua menyokong merah kuning berkumpul di stadium. Kami memegang mafla sambal bersorak beramai-ramai. Suasana ni amat mengagumkan,” katanya.

Katanya, keadaan di stadium semakin membara apabila Selangor mendahului lawan 1-0 hingga menggamatkan suasana di stadium sebelum menambah jaringan kedua hingga tamat perlawanan.

“Sebaik Selangor dinobatkan juara, kami menitiskan air mata kegembiraan. Tak tergambar perasaan masa tu bila pasukan kami rangkul kejuaraan. Rasa nak bersama-sama pemain dakap dan cium trofi kejuaraan,” ujarnya.

Bagi abangnya, Syah Nizam Ahmad Samsi, 33, sebagai penyokong pasukan itu, dia amat gembira apabila Selangor melakar kejayaan, apatah lagi dapat menyaksikan perlawanan itu di stadium.

“Lebih membanggakan saya apabila nama penyokong Sabak Bernam turut disebut pasangan pengacara popular Kieran dan Nana sebelum aksi sepak mula berlangsung. Saya rasa bangga nama Sabak Bernam bergema di stadium,” katanya.

Peminat tegar sejak kecil

Syah Nizam yang menjejak kaki ke stadium itu kali ke-40 menganggap kemenangan itu bonus kepadanya kerana ia menjadi kenangan paling manis selaku penyokong tegar pasukan itu sejak kecil.

“Perasaan kali ni teruja sangat. Tak tahu nak cakap macam mana betapa seronoknya Selangor menang Piala Malaysia,” ujarnya.

Bagaimanapun, di sebalik kegembiraannya meraikan kemenangan Selangor, Syah Nizam mengakui harapannya untuk ke stadium semakin tipis apabila hanya memperoleh tiket sehari sebelum perlawanan berlangsung.

“Buntu gak sebab kata tiket dah habis. Puas cari tiket termasuk cari yang dijual atas talian. Mujur dapat tiket kelmarin walaupun harga tiket dijual melambung tinggi,” katanya.

Seorang lagi rakannya, Mohamad Razi Jamari, 40, berkata, dia dan beberapa rakan lain kini sibuk ‘menabung’ untuk menyaksikan Selangor bermain dalam aksi Piala AFC di tempat lawan.

“Ini tanda sokongan kami kepada Selangor. Biar berhabis duit, asalkan kami dapat saksikan pasukan kesayangan kami beraksi terutama di pentas antarabangsa pula selepas ini.

“Kami juga nak tengok Selangor dapat memberika cabaran di peringkat yang lebih tinggi selepas kejayaan di final Piala Malaysia,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, pihak pengurusan Bola Sepak Selangor (Fas) diharap dapat memperkuat barisan keseluruhan pemain dalam menghadapi saingan musim depan.

“Kena cari beberapa pemain lagi untuk memantapkan pasukan terutama bahagian serangan. Mesti cari peledak yang lebih tajam di depan pintu gol supaya Selangor digeruni pasukan lawan,” ujarnya.


Kemaskini pada 2015-12-22 10:51:44 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page