Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

17 Dis 2015 : MDSB respons rungutan penduduk

MDSB respons rungutan penduduk

SABAK BERNAM - Pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam yang akan dibangunkan di Lot E1, Jalan Sekendi berhampiran simpang empat Batu 37 kampung  telah diwartakan sebagai pusat pengumpulan berasaskan pertanian.

Sehubungan itu, kawasan berkenaan  tidak boleh dibangunkan perumahan atau komersial.

Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Azlinda Azman berkata, pusat penyembelihan yang dibina Jabatan Veterinar itu adalah berteknologi moden dengan menyediakan sistem kumbahan dan kolam takungan yang sistematik.

“Pusat penyembelihan ini juga mempunyai sistem pengurusan moden untuk mencapai standard Halal yang mementingkan kebersihan.

"Selain itu, pusat penyembelihan itu juga akan dipantau oleh Jabatan Persekitaran Majlis Daerah Sabak Bernam,” katanya.

Ditanya berhubung rungutan penduduk kampung berkenaan berkaitan ketiadaan papan tanda projek di kawasan  berkenaan, Azlinda memberitahu, pada masa ini projek di bawah MDSB itu hanya menjalankan kerja awalan iaitu kerja pembersihan dan penambakan tanah.

“Kerja yang dijalankan tidak melibatkan pembinaan... dan sekiranya peruntukan untuk pembinaan diluluskan pada tahun depan atau 2017, maka kontraktor baharu yang dilantik akan diarahkan untuk menyediakan pelan bangunan.

"Selain itu, syarat-syarat pembangunan lain termasuk mendirikan papan tanda dan lain-lain sebagai makluman, akan diadakan” ujarnya kepada Sinar Harian.

Selain pusat penyembelihan ayam, beliau berkata, tapak itu juga bakal dicadangkan kepada kerajaan negeri untuk pembinaan pasar awam yang selesa serta kedai ‘Smart Selangorku’.

Usaha tersbeut adalah bagi menampung keperluan penduduk yang dijangka meningkat dengan mendadak setelah pembangunan pesat dibangunkan dalam tempoh lima tahun di kawasan Air Manis.

“Antaranya pembangunan di Air Manis termasuklah projek perumahan seluas 25 ekar Selangorku, perumahan, komersial dan Hentian dan Rawat (RNR) serta pembangunan berskala kecil yang sedang berjalan,” katanya.

Sinar Harian pada 11 Disember lalu melaporkan, harapan penduduk Kampung Sekendi untuk melihat sebuah projek perumahan dibangunkan di Lot E1, Jalan Sekendi, ibarat menagih janji yang tidak kesampaian apabila kawasan itu bakal diwartakan sebagai Pusat Penyembelihan Halal Sabak Bernam.

Penduduk kampung mempersoalkan tindakan kerajaan negeri membangunkan pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam secara berpusat bagi daerah itu dan bukannya seperti perancangan asal iaitu membina projek perumahan mampu milik seperti yang dijanjikan kepada penduduk.

Penduduk kampung Sekendi, Hashim Ramli, 73, berkata, kebanyakan penduduk mengharapkan supaya kawasan berhampiran simpang empat Batu 37 kampung itu dibangunkan bagi projek perumahan seperti mana yang diuar-uarkan pada tahun 2008.   

“Ramai anak muda terutama bagi mereka yang dah kahwin masih lagi tak ada rumah sendiri sebaliknya mereka terpaksa tinggal menyewa atau menumpang rumah ibu bapa masing-masing,” katanya.


Kemaskini pada 2015-12-22 10:58:27 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page