SABAK BERNAM - Seramai 53 kanak-kanak menyertai program berkhatan beramai-ramai pada Program Berkhatan Perdana di Gelanggang Silat Cemandi Bagan Terap, di sini.

Program berkhatan Perdana anjuran bersama Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bagan Terap dan Parit 9 wajar dijadikan contoh kepada seluruh PDM di Parlimen Sabak Bernam.

Ahli Parlimennya, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh berkata, kerjasama kedua-dua PDM itu perlu dicontohi PDM lain dalam melaksanakan sesuatu program agar lebih berkesan dan memberi impak termasuklah dalam penggunaan wang, tenaga dan kepakaran.

Malah, katanya, beliau juga bercadang mengadakan program seperti itu menggabungkan seluruh PDM dua Dun di Parlimen itu iaitu Dun Sabak dan Dun Sungai air Tawar.

“Dengan kerjasama PDM di dua Dun ini, sambutannya dijangka lebih meriah,” katanya.

Pengerusi program, Abdul Razak Ghazali berkata, sebelum program berkhatan itu bermula peserta turut diberikan cenderamata, diarak menaiki kenderaan pacuan empat roda dan dimandikan dengan pancutan air bomba dan penyelamat.

“Kita harap program ini dapat mengekalkan tradisi Melayu yang juga tuntutan Islam, malah dengan cara lebih baik termasuk penggunaan kaedah berkhatan yang moden dan cepat,” katanya.

Menurut Abdul Razak, program itu diharap dapat menyemai semangat kerjasama antara penduduk.

Peserta dari Kampung Parit 6 Barat, Muhammad Ahnaf Muhammad Adzhari, 11, berkata, perasaan takut dikhatankan hilang apabila dirai secara beramai-ramai dalam program itu, malah dia dan adiknya Muhammad Adib Afham, 9, gembira serta seronok berkhatan.

Sementara itu, peserta dari Kampung Parit 13, Muhammad Hafiz Alhakim Huzuan Ismail, 6, berkata, dia sendiri yang mahu menyertai program berkhatan perdana bersama rakan lain.