Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

08 Jan 2016 : Kaji semula gred pemotongan padi

Kaji semula gred pemotongan padi
Sebahagian pesawah di Mukim Panchang Bedana minta supaya kerajaan mengkaji semula gred pemotongan sebanyak 20 peratus berkuatkuasa 1 Januari lalu berbanding hanya 17 peratus yang dikenakan sebelum ini.


SABAK BERNAM – Rata-rata pesawah di Mukim Panchang Bedana terpaksa menunggu lebih 10 hari bagi pemotongan padi semata-mata ingin mendapatkan subsidi sebanyak RM300 berkuat kuasa 1 Januari lalu sepertimana yang diumumkan kerajaan dalam Pembentangan Bajet 2016 lalu.

Bagaimanapun, harapan mereka memperoleh subsidi padi pada harga lebih tinggi iaitu daripada RM248.10 kepada RM300 tidak memberi apa-apa makna apabila mereka mendakwa mengalami kerugian.

Seorang pesawah, Napiyah Idris, 56, berkata, pesawah yang menerima khabar gembira berhubung kenaikan subsidi padi terpaksa mengambil pelbagai risiko semata-mata ingin memperoleh pendapatan yang lebih baik.

“Ramai antara kami tangguh potong padi tahun lepas sebab nak dapat subsidi. Macam-macam risiko boleh berlaku jika padi dipotong lewat seperti padi terlalu masak dan kering menyebabkan isinya lebih ringan selain rosak.

“Tapi semua itu indah khabar dari rupa apabila kami dimaklumkan subsidi RM300 diperoleh, tapi gred potongan dinaikkan daripada 17 peratus kepada 20 peratus,” katanya.

Menurutnya, pesawah kesal apabila dalam Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya mengumumkan kenaikan subsidi sebanyak RM300, tetapi tidak menyatakan pesawah dikenakan gred potongan padi sebanyak 20 peratus.

“Dah tentu pengumuman kenaikan subsidi sebanyak RM300 itu mengembirakan pesawah. Tapi kami kesal sebab tiada kenyataan memaklumkan kenaikan RM300 menyebabkan gred padi dipotong sehingga 20 peratus.

“Kami kecewa apabila potongan 20 peratus itu menyebabkan kami pula terpaksa menanggung kerugian terutama dalam keadaan dihimpit dengan kos sara hidup. Kerajaan patut kekalkan potongan 17 peratus,” katanya.

Napiyah berkata, setelah perkiraan dibuat, pesawah yang biasanya mampu mengeluarkan sebanyak 8 tan metrik hasil pengeluaran padi terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM15.40 pada potongan baharu.

“Kalau dulu biasanya kita boleh dapat hasil keseluruhan sebanyak RM9,615.40, tapi pada musim sekarang, pesawah hanya mampu memperoleh sebanyak RM9,600 sahaja. Jika lebih banyak pengeluaran padi, bermakna pesawah lagi rugi,” ujarnya.

Seorang pesawah di Parit 7, Abdullah Taib, 65, berkata, kebiasaannya pesawah di kawasan itu mengalami penurunan hasil setiap kali musim kedua berikutan faktor cuaca dan serangan perosak.

“Kita memang harap subsidi ini untuk menampung kos perbelanjaan lebih-lebih lagi musim kedua setiap tahun hasil sawah berkurangan. Tapi, malangnya kami bukan saja berdepan hasil yang kurang, malah terpaksa alami kerugian,” jelasnya.

Katanya, kerajaan diminta menyelesaikan masalah itu segera bagi memastikan kebajikan mereka terbela apatah lagi mereka sentiasa berusaha meningkatkan hasil pengeluaran bagi meningkatkan bekalan beras negara.

“Kami harap kerajaan ambil berat masalah ini. Jangan biarkan kami terus dihimpit tekanan hidup. Buatlah sesuatu supaya masalah ini diselesaikan,” katanya.

Abdullah berkata, masalah yang berlaku terhadap pesawah itu juga dikhuatiri memberi kesan kepada golongan muda untuk mengusahakan tanaman padi.

“Ramai anak muda tak mahu ke bendang. Jika kerajaan tak bantu macam mana mereka nak usahakan tanah sawah. Sekarang ini dah ramai tenaga asing digunakan untuk usahakan sawah,” katanya.


Kemaskini pada 2016-01-20 15:33:58 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page