SABAK BERNAM - Seorang wanita yang menetap di Desa Kasih Parit 9 Barat, Sungai Besar, di sini, terpaksa menggalas tanggungjawab besar menyara diri dan keluarga setelah salah seorang abangnya terlantar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 6 Jun lalu.

Siti Khaironie Hashim, 40, yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik berkata, abang keduanya, Mohd Helmi, 43, disahkan menghidap kanser hidung tahap empat dan kini dijaga sepenuhnya oleh abang sulung mereka, Mohd Azman, 47.

"Dialah (Mohd Azman) yang jaga Mohd Helmi selepas dimasukkan ke wad onkologi HKL. Pada mulanya Mohd Helmi mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam dan disahkan menghidap barah hidung ketika terima rawatan di Hospital Teluk Intan.

"Sebelum itu abang (Mohd Helmi) selalu mengadu batuk, sakit kepala, selesema dan demam. Selepas disahkan menghidap kanser hidung, dia terima rawatan susulan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang selama seminggu sebelum terima rawatan lanjut di HKL," katanya.

Siti Khaironie bekerja di sebuah syarikat dobi di Air Manis dengan pendapatan RM900 sebulan yang digunakan untuk menyara kehidupan, membeli keperluan perubatan untuk abangnya seperti lampin pakai buang dan belanja ulang alik dari rumah ke HKL termasuk sewa kenderaan.

Katanya, dia juga kerap mengambil cuti tanpa gaji demi menguruskan bapa serta abangnya yang mengalami masalah kesihatan, malah bayaran ansuran bulanan motosikalnya juga sering tertunggak kerana terpaksa mendahulukan perkara lebih penting seperti belanja rumah dan bil utiliti.

"Kadang-kadang terpaksa tebalkan muka untuk meminjam duit daripada rakan-rakan sebab tak cukup duit untuk urusan ke hospital. Abang sulung (Mohd Azman) juga sudah berhenti kerja di sebuah syarikat percetakan di Sungai Besi kerana masalah kesihatan bapa kami sejak empat tahun lalu.

"Buat masa ini abang sulung saya kena ada di sisi abang (Mohd Helmi) sepanjang masa dan terpaksa tidur di wad kerana dia tak dapat urus diri sendiri dan perlu pengawasan serta penjagaan rapi," katanya.

Tambah Siti Khaironie, kesihatan bapanya, Hashim Arshad, 76, dan ibunya, Jaminah Kimin, 72, juga tidak memuaskan yang mana bapanya pernah mengalami masalah usus selain darah tinggi dan masalah pendengaran.

Masalah kesihatan itu menyebabkan Hashim sering dimasukkan ke wad di hospital berhampiran dan baru-baru ini dia dimasukkan ke wad Hospital Teluk Intan selama 15 hari kerana mata kanan terkena tempias racun rumput.

"Saya terpaksa ambil cuti tanpa gaji untuk jaga bapa di wad dan terpaksa tinggalkan emak seorang diri di rumah. Sebenarnya risau tinggalkan emak di rumah kerana dia menghidap gastrik serta pening-pening kepala," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank milik Siti Khaironie Hashim, bernombor 162197398917 atau menghubunginya di talian 010-837 2358.