SUNGAI AIR TAWAR - Penduduk di beberapa kawasan di Sabak Bernam merayu kerajaan menyalurkan peruntukan bagi pembinaan ban baharu yang lebih kukuh dan tinggi bagi mengelakkan kejadian ban runtuh akibat fenomena air pasang besar.

Penduduk, Zamrizal Abdul Rahman, 38, berkata, ban sedia ada di Kampung Sungai Air Tawar misalnya sudah berusia lebih 30 tahun dan perlu dibina baharu sebagai pelan jangka masa panjang.

Katanya, setiap kali fenomena air pasang, kerajaan terpaksa menyalurkan peruntukan baik pulih, namun keadaan itu masih berlarutan akibat ban sedia ada tidak lagi kukuh dan berlakunya masalah hakisan tanah.

“Saya syorkan kerajaan, bina saja ban baru daripada tiap-tiap tahun salurkan peruntukan untuk kerja-kerja baik pulih.

“Penduduk pun tak perlu lagi dihantui perasaan bimbang kalau ban sedia ada dibina baru atau dinaik taraf ke tahap yang lebih selamat daripada ancaman air pasang besar,” katanya.

Zamrizal berkata, isu ban runtuh akibat fenomena air pasang yang melanda beberapa kawasan di negeri ini juga diharap turut dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Pembentangan Belanjawan 2017, di Parlimen, Jumaat ini.

Seorang lagi penduduk, Amie Zulizam Island, 36, berkata, dengan adanya ban baharu, maka kawasan pesisir pantai itu dapat ditanam dengan pokok bakau yang mampu menjadi benteng terbaik dalam menangani ancaman air pasang.

“Kalau tengok di Ban Sungai Air Tawar banyak pokok bakau dah musnah disebabkan hakisan dan mendapan tanah sampai dah tak ada tempat untuk tanam semula.

“Jika ada ban baru dibina, saya dapat rasakan pokok-pokok ini dapat ditanam semula di kawasan-kawasan yang musnah, sekali gus menyokong usaha kerajaan lindungi dan pulihara kelestarian sumbernya,” katanya.