SABAK BERNAM - Statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan sebanyak 49 peratus rakyat di negeri ini mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, populasi rakyat di negara ini yang berjumlah 31.7 juta penduduk pula menunjukkan sebanyak 5.3 juta rakyatnya mempunyai berat berlebihan dan 3.6 juta lagi obesiti.

“Kalau sebelum ini, kegemukan penduduk dewasa di negara ini agak kecil, tetapi pada 2015 telah meningkat kepada 47.7 peratus.

“Jadi, ini amat menakutkan kita kerana kita tak mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya pada Karnival Sihat Selangor di Stadium Sungai Besar, di sini, semalam.

Daroyah berkata, masalah sama juga turut berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang mencatatkan seramai sejuta orang yang menghidap kegemukan.

Beliau memberitahu, peningkatan itu berpunca daripada sikap rakyat negara ini yang sering mengamalkan budaya pemakanan yang kurang sihat dan lebih banyak duduk daripada bersenam.

“Rakyat khususnya golongan muda, pastikan jangan duduk dari pagi sampai petang sebab hari-hari kita makan, tapi tiada pergerakan fizikal dan senaman, maka itulah yang menyebabkan rakyat Malaysia dalam keadaan kurang sihat,” katanya.

Justeru, tegasnya, rakyat perlu mengelak daripada makan secara berlebihan dan perlu kerap membuat senaman sebagai langkah utama mencegah masalah obesiti secara berkesan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri mahu setiap rakyatnya mempunyai inisiatif sendiri dan menanam azam untuk memastikan mereka dapat berjalan sekurang-kurangnya 10,000 langkah sehari atau sekurang-kurangnya 5,000 langkah sehari.

Beliau berkata, kempen berjalan 10,000 langkah itu adalah inisiatif daripada Kementerian Kesihatan dan kerajaan negeri telah memulakannya sejak tiga tahun lalu.

“Tahun pertama kempen berjalan 10,000 langkah ini tidak banyak penyertaan, tetapi tahun kedua baru ada pemahaman dan kesedaran, namun memasuki tahun ketiga ini, kita dapat lihat penglibatan lebih rakyat di negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) ke-12 yang melaksanakan kempen gaya hidup sihat itu pada tahun ini.

“Kita mahu semua PBT laksanakan program ini secara berterusan, walaupun program kecil bersama penduduk, bagi memastikan kesihatan rakyat berada pada tahap terbaik,” katanya.