SABAK BERNAM - Kerajaan negeri masih belum menerima sebarang maklumat dan laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berhubung peningkatan jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di beberapa klinik di negeri ini yang didakwa mengalami cirit-birit.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, pihaknya tidak boleh mengulas lanjut berhubung perkara itu selagi masih belum mendapat maklumat lengkap berhubung laporan berkenaan.

Ditanya adakah faktor pencemaran air di negeri ini mengakibatkan penyakit cirit-birit bertambah serius, Daroyah menegaskan, pihaknya tidak dapat mengesahkan perkara berkenaan.

“Tiada kepastian (isu pencemaran sungai). Kita tak boleh buat kesimpulan (selagi tiada siasatan dibuat mengenainya),” katanya.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Selangor sedang melakukan siasatan mengenai peningkatan jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di beberapa klinik di daerah Selangor yang didakwa mengalami masalah cirit-birit.

Pengarahnya, Datuk Dr Zailan Adnan berkata, pihaknya perlu membuat siasatan terlebih dahulu bagi mengenal pasti punca sebenar.

“Saya belum dapat sebarang laporan lagi daripada pegawai saya. Kita akan tengok sama ada kes-kes itu melebihi daripada kebiasaan atau tidak. Kalau macam satu wabak yang melibatkan kelompok atau kluster, contohnya melibatkan murid-murid asrama, kita akan siasat bagi mencari tahu apa puncanya. Jika melibatkan kawasan tertentu dan coraknya sama, kita juga akan siasat,” katanya.

Tambahnya, pesakit perlu diberikan rawatan terlebih dahulu sebelum tindakan seterusnya dilakukan (siasatan).

[ARTIKEL BERKAITAN: Sungai tercemar: Ramai cirit-birit?]

“Pesakit perlu dirawat terlebih dahulu, selepas itu kita akan lihat sama ada ia disebabkan pencemaran sungai, makanan, air atau sebagainya kerana ia boleh berpunca daripada banyak sebab,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan memetik laporan akhbar Oriental Daily yang mendakwa, tinjauan dilakukan akhbar tersebut di klinik-klinik swasta kedua-dua daerah di Selangor dan Seremban mendapati jumlah pesakit meningkat secara mendadak.

Kebanyakan pesakit mengadu cirit-birit dan bilangan pesakit meningkat antara 30 hingga 50 peratus sejak dua minggu kebelakangan ini.

Beberapa doktor ketika ditemui berkata, berlakunya cirit-birit yang berpunca daripada masalah memakan ataupun meminum air tercemar dan beracun.

Ketika ini, empat daerah di Selangor iaitu Hulu Langat, Petaling, Sepang dan Kuala Langat menguatkuasakan catuan air akibat pencemaran air di Hulu Sungai Buah, Negeri Sembilan. Aliran Sungai Buah ini didakwa masuk ke Sungai Semenyih, Selangor.

Menurut laporan akhbar tersebut, walaupun peningkatan penyakit cirit-birit ini masih belum disahkan akibat minum air sungai yang tercemar, namun doktor yang ditemu bual tidak menolak kemungkinan itu.