SABAK BERNAM - Seorang wanita, Nazatul Anira Mohd Rabon, 27, Ibu kandung kepada kanak-kanak, Nurul Irdiena Damieya Abdullah, 7, dicari bagi menyelesaikan urusan penjagaan setelah menghilangkan diri sejak empat tahun lalu.

Pegawai Pelindung Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Sabak Bernam, Maszuki Mat Zin berkata, kanak-kanak itu kini di bawah jagaan ibu saudaranya, Rohani Mohd Rabon yang juga kakak kandung kepada ibu berkenaan.

Menurut Maszuki, Nazatul Anira bersama anaknya pulang berhari raya di rumah Rohani pada tahun 2012, namun dia telah meninggalkan anaknya di rumah itu untuk pulang ke rumah sewanya di Bukit Changgang, Banting, Kuala Langat Selangor.

“Ibu kanak-kanak ini tak dapat dihubungi selepas meninggalkan anaknya di sini dan sehingga sekarang Nurul Irdiena di bawah jagaan ibu saudaranya atas Perintah Jagaan Sementara dari Mahkamah di bawah seksyen 19(2) Akta kanak-kanak 2001,” katanya.

Maszuki berkata, sehingga kini pihak JKM masih gagal mengesan ibu kandung kanak-kanak itu bagi melancarkan urusan penjagaan kanak-kanak berkenaan serta memudahkan urusan-urusan lain berkaitan kanak-kanak itu pada masa depan.

Justeru, JKM mohon kerjasama Nazatul Anira atau orang ramai yang mengenali wanita itu serta mengetahui di mana dia tinggal, menghubungi JKM kerana kes kanak-kanak ini akan dibicarakan di mahkamah pada Khamis ini.

“Sesiapa yang mengenali dan mempunyai maklumat mengenai ibu kanak-kanak ini boleh menghubungi saya di talian 03-32242304 atau 03-322424873,” katanya.