SABAK BERNAM - Penduduk di Bagan Nira, Sabak Bernam, di sini, merungut apabila terpaksa membayar bil elektrik pada kadar lebih tinggi berikutan kelewatan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengeluarkan bil elektrik.

Ketua Umno Cawangan Bagan Nira, Othman Mokmin berkata, bil terbaharu diterimanya menunjukkan bacaan meter bertarikh 11 Ogos hingga 7 November, iaitu bacaan bagi tempoh tiga bulan. Menurutnya, kelewatan itu mengakibatkan penduduk berasa terbeban apabila terpaksa membayar jumlah tertera pada bil tersebut bagi mengelakkan pemotongan bekalan elektrik.

“TNB seharusnya lebih peka terhadap isu kelewatan mengambil bacaan penggunaan elektrik memandangkan penduduk di kawasan itu majoritinya bekerja kampung dan tidak mempunyai sumber pendapatan tetap. Saya rasa lebih 70 hingga 80 penduduk di kampung ini terjejas… Biasanya bil sampai sebulan, tapi kali ini tiga bulan baru kami terima bil hingga bayarannya dua atau tiga kali ganda lebih tinggi,” katanya.

Othman memberitahu, isu kelewatan bil itu berlaku kali kedua dalam tempoh lebih tiga tahun lalu, namun rata-rata penduduk mempertikai tindakan TNB yang didakwa tidak memberi sebarang notis makluman kepada penduduk.

“Contohnya saya terpaksa bayar sebanyak RM348 untuk tiga bulan sekali gus berbanding hanya sekitar RM100 jika bil datang pada setiap bulan. Dalam bil yang saya terima menunjukkan jumlah bacaan meter  berjumlah 1123 Kilowatt. Pada blok pertama saya kena bayar RM129.27, manakala blok kedua pula RM99.20 dan blok ketiga RM120.23.  Saya pasti, jika bil datang mengikut masa pada setiap bulan, jumlah kilowatt dan bayaran tidak setinggi jika dikumpulkan seperti bil tiga bulan ini,” katanya.

Malah, Othman memberitahu, keadaan itu sudah semestinya menyulitkan penduduk kampung untuk menjelaskan bayaran sekali gus.

“Kita mahu TNB tidak ambil keputusan drastik dengan memotong bekalan elektrik di rumah penduduk yang masih belum jelaskan bil yang diterima mereka ini. Kita juga minta TNB buat satu surat edaran kepada penduduk supaya mereka boleh buat bayaran secara ansuran selama tiga atau empat kali bayaran,” katanya.

Othman memberitahu, dia sendiri pernah menghantar Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada pihak TNB mengenai perkara ini dimaklumkan pihak mereka sedang menaiktaraf sistem pengebilan. Bendahari Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Bagan Nira, Abd Manaf Abd Hamid berkata, penduduk di kampung itu resah dengan kelewatan TNB menghantar bil pada setiap bulan.

“Kita tak mahu masalah ini menyebabkan rakyat bertambah marah dengan kerajaan, sedangkan TNB perlu meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Abd Manaf menjelaskan, dia juga terpaksa menjelaskan bil tertunggak itu hampir RM400 akibat kelewatan TNB membuat bacaan penggunaan elektrik.

“Saya harap TNB beri pertimbangan yang sewajarnya dan tidak sewenang-wenangnya memotong bekalan elektrik penduduk yang lewat buat bayaran,” katanya. Sementara itu, difahamkan TNB akan membuat kenyataan susulan berhubung aduan ini dalam waktu terdekat.