
SABAK BERNAM - Seorang pelajar tingkatan tiga yang ingin menambah pendapatan sampingan terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM230 selepas mendakwa ditipu seorang wanita yang dikenalinya melalui aplikasi WeChat.
Nurain Shafiqah Shafee, 15, berkata, wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai 'Ira' mula dikenali pada 12 Oktober lalu dan mereka telah berbincang berkenaan urusan jual beli barangan menerusi pembelian dalam talian.
Menurutnya, wanita itu menjual pakaian dan kasut dengan tawaran harga rendah, menyebabkan dia tertarik lalu membuat tawaran kepada rakan-rakan di sekolahnya.
“Bila saya bagi tahu beberapa kawan sekolah, tak sangka mereka berminat dan telah buat bayaran kepada saya untuk pembelian baju dan kasut,” katanya kepada Sinar Harian.
Nurain Shafiqah berkata, dia sekali lagi berhubung dengan Ira menerusi aplikasi WeChat dan wanita itu menyuruhnya memasukkan duit pembelian itu ke dalam akaun sebuah bank pada 14 Oktober lalu.
“Saya pergi ke sebuah bank di Sungai Besar dan masukkan duit sebanyak RM60 dan RM90 ke nombor akaun bank terbabit.
“Keesokannya, saya masukkan RM80 lagi ke akaun sama, selepas Ira berjanji untuk hantar barang tempahan kawan-kawan sekolah saya itu pada 20 Oktober lalu," katanya.
Bagaimanapun kata Nurain Shafiqah, semua barangan dipesannya tidak diterimanya sehingga ke hari ini, menyebabkan dia terpaksa membuat laporan di Balai Polis Sungai Besar pada 8 November lalu, manakala wanita itu gagal dihubungi kerana telah memadamkan identitinya dalam aplikasi WeChat.
"Saya tunggu hampir sebulan tapi barang masih tak sampai. Saya nekad untuk lapor perkara itu kepada pihak berkuasa dan akibat kejadian itu, saya terpaksa ganti duit kawan-kawan saya sebab barangan dipesan mereka tak sampai ke tangan masing-masing.
"Saya serik dengan kejadian ini, apatah lagi terpaksa keluarkan duit dan minta bantuan keluarga untuk bayar duit kawan-kawan. Tak sangka niat ikhlas nak tolong dia berniaga dibalas dengan sikap tak bertanggungjawab dan tergamak ambil kesempatan terhadap pelajar sekolah," katanya.
Kemaskini pada 2016-11-17 11:46:30 daripada Administrator