Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

15 November 2016 : 15 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan banjir

15 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan banjir
 

SABAK BERNAM - Seramai 66 mangsa daripada 15 keluarga di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Sungai Tengar Utara dipindahkan ke pusat pemindahan banjir Dewan Orang Ramai Sungai Air Tawar, di sini, mulai jam 8.30 pagi tadi.

Komander Operasi Pengurusan Bencana Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, penduduk diarahkan berpindah berikutan penempatan mereka dinaiki air setinggi kira-kira 0.4 meter susulan fenomena air pasang besar.

Menurutnya, sehingga jam 12.00 tengah hari ini, mangsa yang dipindahkan di pusat pemindahan banjir itu melibatkan 37 lelaki dan 29 wanita.

"Daripada jumlah itu, pecahan mangsa terlibat terdiri daripada 22 lelaki dewasa, 18 wanita dewasa manakala sebanyak 14 kanak-kanak lelaki dan 10 kanak-kanak perempuan serta masing-masing seorang bayi lelaki dan perempuan turut ditempatkan di situ," katanya.

Nor Azmi yang juga Ketua Polis Daerah Sabak Bernam berkata, semua agensi yang terlibat bersiap sedia di pusat pemindahan dan melakukan pemantauan secara berterusan dari masa ke semasa.

Dalam pada itu, katanya, fenomena air pasang besar yang masuk hari kedua menyebabkan ban mini baharu yang dibina Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sepanjang kira-kira 250 meter petang semalam berhampiran PPRT kampung itu rosak akibat limpahan air laut dari Tebuk Mendeling yang pecah sebelum ini.

"Cadangan penyelesaian jangka pendek JPS bagi mengatasi masalah ini (banjir di PPRT) adalah dengan melakukan kerja-kerja menambak ban baru dan memasang pam bagi mengeluarkan air dari kawasan PPRT kampung itu," katanya.

Selain itu katanya, JPS turut mencadangkan pelan jangka panjang dengan mengkaji kawasan ban pecah dan persekitarannya di bawah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) daerah Sabak Bernam.


Kemaskini pada 2016-11-17 11:49:47 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page