SABAK BERNAM - 'Nasib baik ada pam air, kalaulah pam air ini tak ada, mungkin rumah kami boleh tenggelam,” demikian kata seorang mangsa banjir di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Sungai Tengar Utara.

Mohd Halim Nazeri, 29, berkata, banjir setinggi 0.4 meter yang melanda penempatan penduduk akibat fenomena air pasang besar di kampung itu disifatkannya kejadian kedua terburuk selepas kejadian sama pada 2003 lalu.

“Dulu (banjir 2003) air masuk sampai ke tingkap rumah, cuma kali ini taklah seteruk itu sebab pam air dapat berfungsi dengan baik,” katanya.

Menurutnya, air mula melimpah masuk ke kediaman penduduk kira-kira jam 7 pagi semalam dan kembali surut dua jam kemudian.

“Tindakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pasang pam air sejak jam 5 pagi semalam itu dapat bantu mengeluarkan limpahan air dari penempatan penduduk ke parit buangan berhampiran.

“Ban mini yang siap dibina JPS malam semalam (kelmarin) berhampiran kawasan ini runtuh menyebabkan air naik dengan cepat,” katanya.

Mohd Halim berkata, kejadian itu diramalkan lebih buruk pada awal pagi ini, namun berharap agar pihak berkuasa dapat mengambil langkah sewajarnya dalam membantu penduduk kampung terjejas.

Seorang lagi mangsa banjir, Azlin Marjuki, 22, berkata, dia hanya menyedari air melimpah ke halaman rumah selepas dimaklumkan ibunya, Salina Shahid, 50.

“Waktu itu saya baru nak solat Subuh. Ibu cakap, air dah naik, mungkin kita semua kena pindah,” katanya.

Azlin berkata, dia terpaksa meredah air limpahan itu sambil mendukung bayinya, Nuraina Afifah Abdullah yang berusia empat bulan.

“Air taklah tinggi mana pun, tapi saya takut kalau ada haiwan berbisa waktu dipindahkan.

“Alhamdulillah, saya dan bayi selamat pindah ke pusat pemindahan banjir. Semua barangan kelengkapan bayi saya dah siapkan lebih awal,” katanya.

Sementara itu, sehingga jam 12 tengah hari semalam, seramai 66 mangsa daripada 15 keluarga di PPRT kampung itu dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Dewan Orang Ramai Sungai Air Tawar, di sini.

Semua mereka mulai berpindah ke pusat itu kira-kira jam 8.30 pagi semalam.