SABAK BERNAM - Mangsa banjir yang berpunca daripada fenomena air pasang besar di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Sungai Tengar Utara mengakui mengalami kerugian ratusan dan ribuan ringgit akibat kediaman mereka dinaiki banjir lumpur, kelmarin.

Tukiran Rahani, 51, berkata, limpahan air masin yang masuk ke kediaman penduduk menyebabkan barangan terutama perabot tidak sempat diselamatkan dan dipindahkan ke tempat lebih tinggi.

"Saya dah letak barangan elektrik di atas para atas faktor keselamatan, tapi tak cukup ruang nak letak barangan perabot sebab rumah sempit," katanya kepada Sinar Harian.

Tukiran memberitahu, kebanyakan set perabot di bilik tidurnya reput dan rosak selepas kediamannya itu dilimpahi air pasang.

“Barangan seperti katil, almari pakaian dan almari hiasan habis rosak dan reput. Kalau dah kena air masin, memang barang tak tahan lama," katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Nor Isa Othman, 56, berkata, kejadian air masin masuk ke kediaman penduduk turut mengakibatkan kerosakan pada pintu rumah.

"Pintu rumah saya jadi reput akibat bencana ini. Kami bukan saja penat nak cuci rumah tapi terpaksa keluar belanja tinggi. Selain perabot rosak, penduduk bimbang kediaman mereka jadi tempat persinggahan haiwan berbisa.

"Masuk hari ini (semalam) dah tiga kali penduduk di sini jumpa ular. Memang rasa takut setiap kali bersihkan rumah. Takut jumpa haiwan berbisa yang tersesat," katanya.

Sementara itu, Mohd Halim Nazeri, 29, memberitahu, kediamannya antara paling teruk dinaiki air sejak fenomena air pasang besar berlaku dan dia berharap ada pihak sudi hulur bantuan untuk meringankan beban penduduk di kawasan itu.

"Kalau bukan sumbangan wang ringgit pun saya minta ada pihak bantu kami bergotong-royong bagi membersihkan persekitaran kawasan ini yang terjejas teruk selepas dilanda musibah air pasang besar.

“Rata-rata yang tinggal di sini merupakan warga emas dan berpendapatan rendah. Bantuan yang diberikan dapat ringankan beban kami,” katanya.