SUNGAI BESAR - Pihak berwajib diminta mengambil langkah proaktif agar kejadian banjir kilat yang berlaku saban tahun di Kampung Nelayan, Sungai Besar, di sini, diberi perhatian dan diatasi dengan berkesan.

Ketua Umno Cawangannya, Mohd Yusuf Hassim berkata, dalam kejadian pagi kelmarin, sebanyak 10 rumah penduduk dan sebuah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) terjejas apabila air setinggi antara 0.3 meter hingga 0.9 meter menenggelami laman dan memasuki kediaman penduduk.

Beliau berkata, kejadian banjir kilat itu pada kali ini tidak seteruk banjir dua tahun lalu apabila sebanyak 21 rumah di kampung itu dinaiki air sedalam lebih satu meter.

“Saya mencadangkan pihak berkenaan dapat mengambil tindakan mengatasi masalah banjir kilat dengan membina ban di bahagian tepi parit sepanjang kampung ini bagi menghalang air parit melimpah masuk ke kawasan kampung.

“Saya percaya, jika ban dibina di tepi parit sebelah kampung ini, ia mampu menghalang kejadian banjir kilat ketika berlakunya pertembungan hujan lebat, air sawah dibuang ke luar dan air laut pasang pada masa akan datang,” katanya.

Mohd Yusuf berkata, cadangan itu turut disampaikan kepada Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh yang turut melakukan tinjauan dan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada penduduk terjejas di kampung itu.

Mohd Fasiah berkata, pihaknya akan memanjangkan permintaan penduduk kepada kementerian berkaitan.

“Saya telah meninjau keadaan kawasan kampung yang terjejas. Jika dilihat, cadangan pembinaan ban ini dijangka akan memberi impak positif kepada penduduk. Permohonan penduduk supaya dibina ban bagi menghalang air parit memasuki kawasan kampung ini akan saya usulkan kepada Kementerian (Sumber Asli dan) Alam Sekitar untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Hairi Hamzah, 38, berkata, dia hanya menyedari rumahnya ditenggelami air apabila terjaga dari tidur setelah tilam yang dibentang di ruang tamu rumahnya itu basah digenangi air.

Hairi berkata, dia bernasib baik tidak terkena renjatan elektrik kerana wayar sambungan yang terendam dalam air banjir setinggi kira-kira 15 sentimeter di dalam rumahnya itu sudah ditutup suisnya.

“Nasib baik saya dah tutup suis wayar sambungan yang terendam di ruang tamu... kalau tak, saya pun tidak tahu apa nasib saya jika terkena renjatan elektrik,” katanya.

Hairi yang bekerja sebagai nelayan berkata, kejadian banjir itu berlaku berikutan hujan lebat pada jam 6 pagi berlarutan selama dua jam diikuti lebihan air dari sawah dibuang keluar manakala air laut pula pasang menyebabkan air parit berhampiran kampung melimpah dan membanjiri rumah penduduk.

“Air mula membanjiri kawasan laman rumah sebelum masuk ke dalam rumah hanya setengah jam selepas hujan lebat. Banjir kembali pulih menjelang tengah hari apabila air laut kembali surut dan kunci air buang berdekatan dapat berfungsi keluarkan air limpahan ke laut,” katanya.