SABAK BERNAM - Kira-kira 1,500 hektar tanaman padi di Sekinchan terjejas teruk akibat diserang penyakit hawar daun bakteria (BLB) sejak November lalu hingga mengakibatkan pengeluaran hasil padi di kawasan itu merudum berbanding sebelum ini.

Pesawah mendakwa, keadaan itu disebabkan baka padi varieti MR 284 yang kurang daya tahan penyakit terutama dalam musim cuaca tidak menentu sejak beberapa bulan lalu.

Seorang pesawah, Pa Kin Kuang, 53, berkata, hampir keseluruhan tanaman padinya seluas 1.6 hektar di Sekinchan rosak dan mengalami penurunan hasil tanaman daripada 11 tan metrik kepada hanya empat tan metrik semusim akibat penularan BLB.

“Kali (musim) ini saya hanya peroleh pendapatan dalam anggaran RM4,800 berbanding RM10,000 atau lebih sebelum ini bagi 0.4 hektar tanah.

“Kalau diikutkan, nak dapat modal pusingan pun tak cukup, malah saya sendiri terpaksa keluarkan lagi duit pada musim akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.

Kin Kuang berkata, varieti padi MR 284 yang digunakan kebanyakan pesawah di kawasan itu tidak mempunyai ketahanan tinggi terhadap rintangan penyakit dan mudah merebak dengan cepat.

“Bakteria ini akan hidup dalam benih, jerami padi, tunggul padi dan padi batat,” katanya.

Seorang lagi pesawah, Lee Loy Fong, 76, berkata, pengeluaran hasil padinya terjejas teruk dan menyifatkan serangan bakteria itu paling buruk pernah dialaminya sejak mengusahakan tanaman itu lebih 40 tahun lalu.

“Saya pun hairan sebab BLB ni tiada ubat. Saya dapat kesan, pokok padi ini mula diserang selepas 110 hari ditanam.

“Kalau tengok, daun padi akan jadi kekuningan dan kering,” katanya.

Selain Sekinchan, tinjauan Sinar Harian di beberapa kawasan penanaman padi di sekitar daerah Sabak Bernam mendapati kebanyakan petani merungut akibat serangan penyakit BLB yang turut merebak di kawasan tanaman penduduk.

Seorang petani di Sungai Haji Dorani, Ahmad Salihin Selamat, 45, berkata, sebanyak 8.4 hektar kawasan tanaman padinya turut terjejas akibat penularan bakteria berkenaan.

Ahmad Salihin berkata, pelbagai inisiatif dilakukannya bagi mengawal BLB termasuk menggunakan sabun mandian dan peluntur baju, namun bakteria itu masih terus merosakkan pokok padi di bendangnya.

“Macam-macam ikhtiar saya buat, malah ada juga pesawah lain terpaksa guna air laut untuk elakkan penyakit bakteria ini,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Salihin berkata, pokok padi berusia 50 hari yang diserang bakteria itu dapat dikawal dengan penggunaan baja organik, namun hasil pengeluarannya tetap terjejas.

“Nasib baik saya guna baja organik ini...setidak-tidaknya penularan bakteria ini dapat dikawal dan tidak merebak,” katanya.

Marshraf Alipian, 38, yang baharu tiga musim mengusahakan tanaman padi berkata, serangan BLB dikatakan berpunca akibat faktor cuaca yang sering kali hujan dan panas.

“Ramai pesawah mengeluh sebab varieti padi ini sememangnya berkualiti dan mampu memperoleh hasil lebih tinggi, namun malangnya, ia tak kebal bila diserang penyakit,” katanya.

Seorang pesawah muda, Alifi Hijas, 29, berkata, kerajaan diminta supaya membantu pesawah terutama bagi mereka yang mengalami kerugian disebabkan BLB, selain mengkaji semula penggunaan varieti padi MR 284.

“Saya minta pihak kerajaan melihat perkara ini termasuk menghasilkan benih padi baru yang mempunyai kerintangan yang lebih baik terhadap penyakit,” katanya.