SABAK BERNAM - "Bapa dan ibu saya dibunuh dengan kejam... kakak dan ipar-ipar perempuan dirogol tentera Myanmar," kata seorang etnik Rohingya, Abdul Rahim Hassan Ali, 50, ketika mengenang kembali peristiwa pahit yang dilalui keluarganya 28 tahun lalu.

Bagi Abdul Rahim, walaupun peristiwa itu sudah agak lama berlalu, namun kekejaman dan pembunuhan dilakukan tentera Myanmar masih segar dalam ingatannya sehingga kini.

Menurutnya, kejadian pada tahun 1988 itu berlaku ketika dia bersama ibu bapa, adik beradik serta ipar-iparnya sedang berehat selepas makan tengah hari di rumah mereka di Arakan, Myanmar.

"Masa itu pintu rumah kami diketuk dengan kuat. Kami dengar suara bising di luar rumah. Kami tersentak bila beberapa anggota tentera ceroboh masuk ke dalam rumah kami dan sebahagian kaum wanita menjerit ketakutan.

"Kami cuba lawan tapi apalah daya kami waktu itu. Kami diterajang sesuka hati, malah sehingga kini, kesan pukulan masih berbekas di kaki dan dahi saya. Ada kalanya rasa sakit sepertimana terseksanya kaum kerabat kami di sana," katanya.

Abdul Rahim yang merupakan anak bongsu daripada 13 beradik memberitahu, serangan di rumah keluarganya itu sungguh menyayat hati kerana mereka diseksa dan dipukul, malah kaum wanita menjadi pemuas nafsu serakah tentera Myanmar.

Abdul Rahim kini menetap di Jalan 6 Bagan Sungai Besar menceritakan, dia dan isterinya, Hazrah Nazil Ahmad, 50, sempat melarikan diri ke dalam hutan dengan membawa bersama anak sulung mereka, Mohamad Yusup, 32, yang ketika itu baru berusia empat tahun.

"Lebih kurang tiga bulan kami berada dalam hutan. Masa itu kami jumpa kumpulan pelarian lain yang juga mahu keluar dari Myanmar. Akhirnya kami tiba di Thailand dan ditahan selama tiga tahun sebelum di bebaskan.

"Sepangjang menjadi tahanan (di Thailand) kami hanya makan nasi kosong sebab lauk pauk di negara itu tidak halal untuk dimakan oleh Muslim," katanya.

 

Ambil keputusan ke Malaysia

Pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) itu berkata, sebaik sahaja dibebaskan di Thailand, dia sekeluarga serta beberapa rakan mengambil keputusan untuk mendapatkan perlindungan di Malaysia.

"Kami naik kereta api terus ke Johor Bahru. Kehidupan kami jauh lebih aman dan dapat hidup dengan tenang di negara ini (Malaysia)," kata bapa kepada 10 orang anak itu.

Tambah Abdul Rahim, dia mula menetap di Sungai Besar, di sini, pada 1995 selepas dipelawa oleh seorang rakannya untuk memulakan kehidupan baharu dan kini dia berniaga runcit secara kecil-kecilan.

"Sampai sekarang saya trauma dengan kejadian yang menimpa keluarga saya dan tak pernah pulang lagi ke Myanmar. Bila saya kenang semula peristiwa itu saya akan menangis sendirian.

"Luluh hati bila ahli keluarga mati dibunuh. Mungkin ada daripada mereka selamat tapi entah di mana pada masa kini. Cukuplah penderitaan lalu... saya tak mahu kenang. Apa yang lebih penting, saya nak lihat semua anak dan cucu saya selamat dan jadi insan berguna," katanya.

 

Sedih kenang Rohingya

Hazrah Nazil yang tidak pernah mengenali ibu bapanya menceritakan, dia dipelihara oleh ibu dan bapa suaminya sejak berusia lapan bulan sebelum dia dan Abdul Rahim diijabkabulkan ketika berusia belasan tahun.

"Saya tak tahu siapa ibu dan bapa saya. Apa yang saya tahu, mereka tinggalkan saya di rumah mak dan selepas itu saya langsung tak pernah tatap wajah mereka sampai sekarang.

"Sedih bila kenang nasib yang menimpa umat Islam di Myanmar. Kami tak tahu apa salah kami sampai diperlakukan sebegini. Setiap hari ada sahaja penyeksaan dan pembunuhan dilakukan," katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Prihatin Malaysia, Dr Mohd Hisham Surgi yang menziarahi keluarga itu menyatakan rasa simpati terhadap apa yang berlaku kepada etnik Rohingya di Myanmar.

"Kita harus beri tekanan kepada Junta tentera Myanmar supaya semangat perikemanusiaan terhadap masyarakat Rohingya dititikberatkan.

"Kita harap kekejaman dilakukan dapat diheret ke mahkamah kemanusiaan di Belanda dan jangan biarkan mereka ini terlepas sebab apa yang dilakukan merupakan satu siri kezaliman era moden dan tidak seharusnya berlaku," tegasnya.