SABAK BERNAM - "Nasib baik lori tak jatuh dalam parit, kalau jatuh mungkin habis semua padi saya rosak...silap-silap nyawa saya pun boleh melayang," kata seorang pesawah, Mohd Khairul Izat Zainal Abidin, 24.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang semalam itu, Mohd Khairul yang memandu lori bersendirian berdepan detik cemas apabila kenderaan membawa muatan padi seberat enam matrik tan itu tiba-tiba terbalik berhampiran parit selepas hilang imbangan ketika melalui jalan mendap di Kampung Parit Serong, Simpang Lima.

Menurut Mohd Khairul, kejadian berlaku dalam sekelip mata apabila dia yang menyewa lori bagi mengangkut hasil padinya itu melalui struktur jalan berlekuk terbabit.

"Perasaan saya mula gelisah bila tengok jalan mendap, tapi tak boleh nak buat apa sebab ini laluan utama. Saya kuatkan hati redah juga jalan ini.

"Tayar lori depan mulanya lepas, tapi tiba-tiba tayar belakang pula tersangkut menyebabkan lori terus rebah ke kiri parit," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Khairul memberitahu, kejadian lori sewanya itu terbalik berlaku hanya kira-kira 10 meter dari kawasan tanaman padinya.

"Bila dah selesai kerja pemotongan padi di bendang, saya nak terus ke pusat jualan padi berhampiran...tak sangka pula lori hilang imbangan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur kerana selamat dalam kejadian itu tanpa sebarang kecederaan dialami dan hanya kira-kira satu tan metrik padi yang mengalami kerosakan dengan anggaran kerugian kira-kira RM2, 500.

"Sebahagian padi yang masih berada dalam lori dan tumpah dalam parit pada bahagian atas yang masih elok dapat diselamatkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Blok N5 Kawasan Sungai Nipah, Zainal Abidin Mokhtar berkata, pihak berwajib terutama Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor diminta mengambil tindakan segera bagi membaik pulih kerosakan jalan berkenaan.

Beliau berkata, terdapat kira-kira 30 pesawah menggunakan jalan itu bagi mengangkut hasil padi pada setiap musim berdepan risiko sama sekiranya masalah itu dibiarkan terus berlarutan.

"Kita minta supaya kejadian ini dipandang serius kerana ia bukan saja melibatkan soal hasil pendapatan pesawah, tetapi keselamatan mereka yang menggunakan laluan ini," katanya.