SABAK BERNAM - Kira-kira 60 nelayan pesisir pantai di Pasir Panjang merungut berikutan kegagalan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuka Pintu Air Parit 10 Pasir Panjang mengikut jadual sepatutnya hingga merumitkan aktiviti penangkapan ikan di laut.

Penduduk mendakwa, pintu air yang berfungsi mengeluarkan air dari sawah bendang berhampiran tidak dibuka sejak empat hari lalu hingga memaksa nelayan membuka pintu air itu sendiri bermula jam 9 pagi, semalam.

Masalah yang membelenggu nelayan di kawasan itu bukan kali pertama berlaku di kawasan itu, malah kejadian sama sering dilalui nelayan dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.

Nasir Sapari, 34, berkata, nelayan naik bosan dengan masalah itu apabila bot fiber mereka yang ditambat di jeti nelayan kawasan itu terkandas akibat air surut dan pintu air tidak dibuka.

“Kalau pintu air ni ditutup, macam mana kami nak ke laut, sedangkan tempat tambat bot berlumpur dan kering.

“Kena ingat, jalan air tak sama macam di darat yang boleh jalan bila-bila masa saja...Bot tak boleh lalui permukaan berlumpur,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang nelayan yang sudah lebih 30 tahun ke laut, Shabingin Othman, 63, berkata, enjin sangkut bot fiber nelayan kawasan itu juga sering kali rosak akibat melalui laluan muara sungai itu yang kering-kontang.

“Enjin sangkut ni perlu jalan air bagi menyejukkannya, tapi kalau terpaksa redah laluan lumpur menyebabkannya rosak dan tersumbat.

“Bila keadaan ini berlaku, nelayan terpaksa keluarkan perbelanjaan untuk kos selenggara dan alat ganti yang tinggi..rasa seolah-olah macam tak berbaloi ke laut sebab penat lelah kita bekerja setiap hari terpaksa keluarkan perbelanjaan bagi kos kerosakan,” katanya.

Samsudin Sapari, 50, berkata, meskipun JPS mempunyai jadual membuka dan menutup pintu air itu, namun dalam keadaan musim hujan sekarang terdapat lebihan air di kawasan tanaman padi.

“Kalau musim kemarau kita faham sebab padi perlukan air, tapi musim hujan sekarang pun pihak berwajib tak buka pintu air.

“Saya tengok di kawasan darat air melebihi had, patutnya dibuang ke pintu air ini bagi menyenangkan bot nelayan keluar dan masuk,” katanya.

Seorang nelayan muda, Shahri  Zaili, 23, berkata, nelayan berdepan waktu tidak menentu untuk keluar ke laut dan pulang ke darat akibat masalah berkenaan.

“Sekarang ni, kami terpaksa ikut pasang surut air laut untuk keluar. Masa kami di darat jadi tak menentu hingga banyak urusan terpaksa tertangguh.

“Bayangkanlah bagaimana pula nasib kami di tengah laut bila nak balik ke darat terpaksa tunggu air pasang lebih dua atau tiga jam...berjemur dan berpanas di laut baru boleh balik ke rumah,” katanya.

Sementara itu, JPS memaklumkan akan membuat kenyataan dalam waktu terdekat.