Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T

alt   alt   alt alt   alt

 

Sejarah Sabak Bernam

SEJARAH RINGKAS DAERAH SABAK BERNAM

 

Mengikut apa yang telah dapat dikumpulkan daripada orang-orang tua di Sabak Bernam, bahawa nama Sabak Bernam ini adalah berpunca dari perkataan 'Sahabat Berenam'. Menurut ceritanya, adalah diketahui bahawa terdapat seramai enam (6) orang yang bersaudara telah mudik ke hulu Sungai Bernam dan mereka dapati ada sebatang kayu yang tumbang dan menghalang laluan sungai. Mereka telah bertindak memotong kayu tersebut dan meneruskan perjalanan ke hulu sungai. Sungguhpun kesahihan cerita ini tidak dapat dibuktikan, namun terdapat sedikit sebanyak bukti yang berkaitan dengan Sahabat Berenam ini iaitu kubur-kubur mereka dikatakan masih boleh dijumpai hingga hari ini, iaitu di kawasan yang dikenali sebagai keramat-keramat berikut :

  1. Keramat Pantai Landu;
  2. Keramat Kemboja; 
  3. Keramat Lubuk Pusing;
  4. Keramat Sepong;
  5. Keramat Kanji; dan
  6. Keramat Teluk Rubiah.

Kesemua mereka dipercayai meninggal dunia di tempat yang berbeza dalam Daerah Sabak Bernam. Ada pendapat mengatakan, setiap  seorang daripada mereka meninggal dunia di Ulu Bernam, Pantai Landu, Seberang Kota, Sungai Langatau Tanjung Medan, Keranji dan Pantai Kampung Kemboja. Sebab kedatangan mereka pula tidak diketahui. Seorang daripada mereka yang tiba di Keranji telah dianggap pahlawan oleh penduduk kampung itu kerana membantu penduduk menentang orang-orang Aceh yang datang menyerang Keranji.

 

Menurut cerita yang lain pula, nama Sabak Bernam diperolehi daripada satu peristiwa iaitu pada tahun 1880, terdapat seramai enam(6) orang iaitu terdiri daripada bekas pembesar Aceh dan Sumatera yang telah meninggalkan negeri masing-masing dan datang ke Tanah Melayu ini. Mereka berenam yang merupakan golongan pembesar dan bangsawan dikatakan melarikan diri akibat peperangan yang berlaku  di negara mereka. Mereka telah berpakat mengharungi Selat Melaka dan masuk ke kuala sebuah sungai,yang mana sebelum itu sungai tersebut masih belum ada namanya yang diketahui. Sungai ini kemudiannya dinamakan Sungai Bernam mangambil sempena jumlah enam (6) orang ketua yang menyertai pelayaran tersebut.

 

Mereka kemudiannya telah mudik ke hulu sungai tersebut. Dalam perjalanan untuk bermalam, mereka telah berjumpa dengan satu tempat yang sedikit tinggi seperti busut, maka disitulah mereka membuat pondok untuk berteduh. Untuk memasak makanan, mereka telah menebuk tanah untuk dijadikan sebagai tungku dapur. Maka dapur daripada tanah itulah dipanggil sebagai 'Sabak' mengikut bahasa mereka.

 

Oleh yang demikian, mengambil sempena peristiwa memasak makanan dengan dapur yang diperbuat daripada tanah itu, maka kawasan itu diberi nama 'Sabak' dan kerana mereka pula ada berenam orang, sungai yang menjadi laluan tersebut dinamakan 'Sungai Bernam' dan tempat mereka tinggal pula dinamakan 'Sabak Bernam'. Menurut cerita lagi, mereka yang berenam itu terdiri daripada:
 
 (i)   Tuan Syed Ahmad;
 (ii)  Tuan Sharifah Intan/Mastura;
 (iii)  Tuan Sharifah Robiah;
 (iv)  Tuan Haji Salim;
 (v)   Datuk Dalang; dan
 (vi)  Datuk Menteri.

 

Menurut sejarah orang dahulu pula, Sabak Bernam dikatakan telah wujud sejak tahun 1720 yang mana di masa itu Sabak Bernam berada dibawah pemerintahan Raja Muda Perak yang bergalar Raja Inu. Semasa itu, Putera Sultan Ibrahim iaitu Sultan Selangor yang kedua dan memerintah dari tahun 1778 hingga 1826, yang bernama Raja Onus bersama kaum keluarga dan isterinya telah berpindah ke Sabak Bernam dengan seorang sahabat karibnya bernama Haji Ali yang juga membawa keluarga dan isterinya. Raja Onus telah memilih tempat tinggal di tebing Sungai Bernam iaitu di sebelah Negeri Selangor. Raja Onus mempunyai putera seramai lima (5) orang iaitu Raja Hitam, Raja Indut, Raja Mat Aris, Raja Abidin dan Raja Nordin.

 

Apabila Raja Onus meninggal dunia, maka puteranya yang sulung iaitu Raja Hitam dengan dipersetujui oleh semua saudaranya telah menggantikan tempat Raja Onus. Beliau telah memilih tempat tinggalnya di sebelah Negeri Selangor dan mendirikan kota yang dikenali dengan nama Kota Raja Hitam. Tempat tersebut pernah dikenali juga dengan nama Istana Hinggap Sultan Selangor.

 

Raja Hitam telah beristerikan seorang wanita bernama Dasimah dan mereka mendapat beberapa orang putera dan puteri iaitu Raja Tahir, Raja Ja'afar, Raja Nuteh, Raja Chik dan Raja Enson. Raja Tahir, Raja Ja'afar dan Raja Chik telah meninggalkan beberapa orang anak laki-laki dan perempuan.

 

Apabila Raja Hitam menggantikan Raja Onus, maka Raja Hitam telah melantik saudaranya Raja Indut menjadi Majistret untuk membicarakan jika ada kes-kes untuk dibicarakan. Semasa pentadbiran Raja Hitam, Residen British Negeri Selangor telah beberapa kali memujuk Raja Hitam agar bersetuju supaya Sabak Bernam diletakkan di bawah pentadbiran Inggeris di Negeri Selangor, tetapi permintaan ini telah ditolak oleh Raja Hitam.

 

Pihak Inggeris tidak berputus asa dan telah menghantar pegawainya bernama Mr. Roger bagi memujuk Raja Hitam dengan memberikan janji-janji untuk kebaikan anak cucu Raja Hitam pada masa akan datang. Akhirnya Raja Hitam telah berunding dengan saudara-saudaranya dan telah bersetuju meletakkan Sabak Bernam di bawah tadbiran Inggeris di Negeri Selangor. Residen British Selangor telah memberikan surat bercap mohor yang memberi jaminan kepada semua waris Raja Hitam.

 

Setelah Sabak Bernam diletakkan di bawah tadbiran Negeri Selangor, pada tahun 1876, dalam surat bertarikh 13 haribulan Ogos, Residen British Selangor Bernama Kapten Bloomfield Douglas telah menulis surat kepada Raja Hitam yang berbunyi seperti berikut:
 
 "Surat daripada Kapten Bloomfield Douglas Residen British Negeri Selangor kepada Raja Hitam ibni Al-Mahrum Raja Yunus di Sabak Bernam bertarikh pada 13 haribulan Ogos 1876 mengenai peraturan baru untuk mengadakan pegawai orang putih Edward Neubroner memengang jawatan Collector of Land Revenue (Pemungut Hasil) Magistrate Police Sabak Bernam."

 

Dengan penerimaan surat tersebut, maka kuasa pemerintahan Raja Hitam di Sabak Bernam telah berakhir. Semasa pemerintahan Edward Neubroner, beliau telah membina sebuah Pejabat Kerajaan dan sebuah balai polis yang dianggotai oleh seramai dua (2) orang mata-mata sahaja pada mulanya.

 

Setelah Sabak Bernam diletakkan di bawah tadbiran Negeri Selangor, maka mulalah bangsa-bangsa lain seperti Inggeris, Cina dan India berhijrah ke Sabak Bernam. Orang Inggeris telah membuka tanah untuk dijadikan ladang-ladang seperti Ladang Torkington, Ladang Rajah Hitam, Ladang Sungai Bernam dan Ladang Bagan Terap. Mereka menggunakan buruh dari kalangan orang India yang dibawa masuk dari India. Di kalangan orang Cina pula, mereka yang tinggal di pekan telah membuka perniagaan seperti kedai menjual minuman (kopi dan teh), dan ada juga yang menjalankan kerja menjual kain baju dan barang-barang runcit.Terdapat juga di kalangan mereka yang tinggal di kawasan pinggir sungai dan laut dan menjadi nelayan.

 

Pada asalnya, Daerah Sabak Bernam hanya meliputi kawasan dari bahagian utara yang bersempadan dengan Kampung Kota(Perak) hingga ke kawasan Sungai Nibung sahaja. Pada masa kini, kawasan yang diliputi ialah sehingga ke Sungai Burong, Sekinchan. Keluasan kawasan Daerah Sabak Bernam ialah 99,714 hektar.Pada masa lalu, Sabak Bernam hanya meliputi empat (4) sahaja tetap kini telah menjadi lima (5) mukim iaitu Mukim Sabak, Bagan Nahkoda Omar/Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Pancang Bedena dan Pasir Panjang.

 

Pusat pentadbiran daerah ini sejak tahun 1970 ialah di Sungai Besar. Di peringkat awal, Sabak Bernam merupakan daerah kecil kepada Dearah Kuala Selangor dan pusat pentadbirannya adalah bertempat di Mukim Sabak iaitu di kawasan Pekan Sabak Bernam hari ini. Perpindahan ibu pejabat pentadbiran daerah ke Sungai Besar adalah disebabkan kawasan Pekan Sabak Bernam yang lama sering dibanjiri air pasang dari Sungai Bernam. Ini disebabkan oleh kedudukan kawasan pekan yang berhampiran dengan sungai utama kawasan ini.

 

Semasa Sabak Bernam menjadi Daerah Kecil kepada Kuala Selangor, jarak daerah ini dari Kuala Selangor adalah sejauh 40 batu. Pada masa lalu, tiada kemudahan jalan perhubungan iaitu jalan raya di antara kedua-dua kawasan. Para penduduk hanya menggunakan jalan rentas (pintas) iaitu jalan darat yang dikenali sebagai jalan tanah bakar untuk tujuan perhubungan antara kawasan.

 

Disebabkan jauhnya ibu pejabat dearah di Kuala Selangor dengan Daerah Sabak Bernam, maka pada tahun 1954, penduduk Sabak Bernam dengan dipimpin oleh Yang Dipertua Persatuan Melayu Daerah Sabak Bernam telah mengadakan satu mesyuarat khas yang dihadiri oleh semua ketua-ketua kaum bagi membincangkan kesulitan-kesulitan yang dialami oleh penduduk daerah ini yang tertinggal dalam pelbagai lapangan.

 

Akhirnya, mereka telah bersetuju untuk mengemukakan satu Memorandum dan menyampaikan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, memohon supaya Sabak Bernam dijadikan sebagai Daerah Ketujuh di Negeri Selangor. Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Dato' Onn bin Ja'afar yang pada masa itu memegang jawatan berkaitan Hal Ehwal Dalam Negeri, dan turut dihadiri oleh Y.M. Raja Ayub bin Raja Haji Bot dan Mr. K.V. Thaver yang mana kedua-keduanya adalah ahli Legislative Council Negeri Selangor. Mesyuarat tersebut bertempat di bangunan Persatuan Melayu Daerah Sabak Bernam.

 

Dari segi pembangunan ekonomi, hampir 50 peratus tanah di daerah Sabak Bernam digunakan bagi tujuan pertanian iaitu tanaman kelapa, padi, kelapa sawit, koko, sayur-sayuran dan buah-buahan. Tanaman utama yang menjadi sumber pendapatan ialah padi, kelapa dan koko.

 

Masyarakat di Sabak Bernam pula adalah terdiri daripada orang Melayu berketurunan suku Jawa, Banjar, Kampar dan Melayu Bugis. Mereka terdiri dari kalangan masyarakat Melayu yang mempunyai loghat dan adat yang berlainan. Jika diteliti, terdapat sedikit pengkhususan kawasan tempat tinggal di kalangan suku-suku yang berbeza. Contohnya seperti di Kampung Batu 40 dan Kampung Sungai Panjang, kebanyakan penduduknya adalah berketurunan Bugis dan Jawa. Pada masa lalu, terdapat kawasan yang dipanggil Kampung Sungai Bugis kerana ramai penduduk di daerah ini berketurunan Bugis.

 

Kemaskini pada 2016-05-25 14:27:40 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page

Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam, Kompleks Pejabat Daerah Sabak Bernam,
45300 Sungai Besar, Selangor. Tel:03-32241963 | Faks:03-32242178 | E-mel : sbernam[at]selangor[dot]gov[dot]my
Penafian : Pejabat Daerah Dan Tanah Sabak Bernam & Kerajaan Negeri Selangor adalah tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh
penggunaan mana-mana maklumat atau daripada kecacatan atau kesilapan kandungan di dalam portal ini.
Paparan terbaik menggunakan : IE9 ke atas/ Firefox 11 ke atas/ Google Chrome resolusi 1280 x 720 ke atas.
::Hakcipta Terpelihara@2014 Pejabat Daerah Dan Tanah Sabak Bernam::   
Hari IniHari Ini195
Jumlah PelawatJumlah Pelawat602191
Visitor count : 602191 Tarikh Kemaskini: 29 03 24