SABAK BERNAM - Sepasang suami isteri di Kampung Parit 12 Barat Sungai Besar, di sini, merayu bantuan baik pulih dapur kediaman mereka yang daif dan memerlukan penambahbaikan.

Mahat Saaid, 64, berkata, dia tidak lagi mampu bekerja setelah menghidap gout, manakala isterinya, Asmah Abdullah, 57, pula menderita pelbagai penyakit kronik.

Bapa enam anak itu memberitahu, empat anaknya sudah berkahwin dan mempunyai keluarga masing-masing, manakala dua lagi anak lelakinya tinggal bersama di rumah berkenaan.

 

 

 
 

“Seorang anak lelaki saya mengalami masalah pertumbuhan otak, manakala seorang lagi hanya bekerja kampung ambil upah kait buah sawit dan menebas kebun,” katanya.

Mahat berkata, mereka amat memerlukan bantuan baik pulih dapur rumah itu yang dibina sejak tiga tahun lalu dengan menggunakan bahan binaan reban ayam.

 

“Dapur ini saya buat sendiri sebab nak menyambut menantu. Saya gunakan zink terpakai reban ayam untuk dijadikan atap dan dinding dapur.

“Banyaklah bocor dan berlubang  sana sini dan kalau tengok lantai dapur rumah pun tak rata dan separuh daripadanya beralaskan kanvas,” katanya.

Katanya, lubang dapur rumahnya yang terbuka itu kerap kali diceroboh masuk sekumpulan monyet liar yang merosakkan barangan.

Malah, katanya, mereka turut bimbang ancaman haiwan berbisa memasuki dapur rumah terutama pada waktu malam.

“Tiga bulan lepas ular dah masuk dapur. Nasib baik saya nampak dan sempat bunuh ular ni.

“Jadi saya harap sangat dapat bantuan baik pulih dapur untuk jamin keselesaan dan keselamatan saya  sekeluarga. Saya risau  kalau apa-apa jadi.

“Pernah juga saya ajukan permohonan kepada pihak berwajib, tapi semuanya belum lagi diluluskan,” katanya.