SABAK BERNAM - 8 Ogos -  Tiga kanak-kanak di sebuah tadika di daerah ini dikesan dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), semalam.

Sumber tadika terbabit yang enggan dikenali berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sabak Bernam yang melakukan pemeriksaan mengarahkan premis terbabit ditutup selama dua minggu.

Menurutnya, penutupan sementara operasi tadika itu berkuatkuasa semalam sehingga 21 Ogos ini.

"Penutupan operasi ini bertujuan melakukan pembersihan termasuk dalam dan luar premis, peralatan permainan serta seluruh bangunan tadika bermula hari ini," katanya.

Sumber memberitahu, semua ibu bapa sudah dimaklumkan berhubung penutupan sementara berkenaan.

Sebelum ini tular berhubung penutupan tadika berkenaan pada aplikasi WhatsApp berkumpulan.

Dalam penyebaran maklumat itu, ibu bapa diingatkan supaya meningkatkan penjagaan kebersihan bagi mengelakkan jangkitan berleluasa.

"Paling penting, amalkan membasuh tangan dengan betul di mana sahaja berada, atau sebaik sahaja anak-anak beraktiviti serta tidak membawa mereka ke tempat awam," katanya.