SABAK BERNAM - Seorang pengedar dadah warga Myanmar dicekup dalam 'Ops Payung', di Jalan 1, Bagan Sungai Besar, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, suspek ditahan sepasukan polis diketuai Sarjan Mazli Mohamed kira-kira jam 2.30 petang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan polis, menemui tiga paket plastik yang mengandungi dadah jenis heroin seberat 18.63 gram yang dianggarkan bernilai RM500.

"Dadah terbabit ditemui pada poket seluar yang dipakai suspek," katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, semalam.

Nor Azmi berkata, hasil Ujian Air Kencing (Urin) yang dilakukan di IPD Sabak Bernam mendapati suspek positif dadah jenis heroin.

Katanya, suspek juga tidak memiliki pasport dan akan disiasat mengikut Akta Imigresen.

"Hasil semakan polis, suspek tidak memiliki rekod lampau sebelum ini.

"Polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.