SABAK BERNAM -15 Ogos - Gerak hati seorang lelaki ingin mengambil barang yang tertinggal di bilik tidur menyelamatkan tiga sekeluarga dalam kebakaran di Jalan Tali Air 11, Sungai Nibong, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 8. 35 malam itu mengakibatkan stor penyimpanan barang milik keluarga itu musnah, selain sebahagian kecil bahagian tepi rumahnya turut terbakar.

Roslan Ibrahim, 53, berkata, kejadian kira-kira jam 8. 35 malam itu berlaku ketika dia bersama ibunya, Che Liah Cha, 75, dan anak saudara, Siti Fatimah Madihah Azhar, 13, sedang menonton televisyen.

"Tiba-tiba saya teringat barang yang tertinggal di bilik tidur dan bergegas mengambilnya.

"Ketika berada di bilik, saya nampak cahaya terang warna oren di luar rumah.

"Mulanya, saya ingatkan cahaya lampu, tapi sebaliknya yang terjadi apabila api marak membakar stor penyimpanan barang," katanya.

Roslan yang merupakan anak sulung daripada empat beradik berkata, dia kemudiannya bergegas ke dapur dan membawa ibu dan anak saudaranya keluar ke laman rumah untuk memadamkan api.

"Ibu berkeras tak nak keluar dari rumah dan berterusan memadamkan api menggunakan timba.  

"Namun, disebabkan api marak, ibu akhirnya mengalah dan saya segera membawanya keluar ke tempat selamat," katanya.

Katanya, jauh di sudut hati berasa kesal apabila kereta peninggalan arwah bapanya berusia 22 tahun yang sepatutnya dibaiki bulan ini musnah dalam sekelip mata.

"Apa pun saya bersyukur rumah pusaka berusia 40 tahun ini hanya sedikit terjejas akibat kebakaran ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan Mohd Khairul Anuar Abu Bakar berkata, sepasukan 18 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.

"Tiba di lokasi, anggota mendapati api marak membakar stor itu dan memusnahkan sebuah kereta yang berada di situ," katanya.