SABAK BERNAM -15 Ogos -  Kerajaan negeri sedia maklum berhubung kekangan kewangan yang dihadapi Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) hingga terpaksa menangguhkan bayaran gaji kepada kakitangannya pada Ogos ini.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, beliau sendiri telah menghantar surat kepada Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berhubung isu penangguhan bayaran gaji kepada kakitangan MDSB.

Menurutnya, kerajaan negeri pada masa ini sedang mencari jalan penyelesaian terbaik menangani perkara berkenaan.

"Saya yakin isu gaji ini dapat diselesaikan, malah saya difahamkan, permohonan peruntukan juga sudah dipanjangkan dan hanya untuk kelulusan," katanya.

Suee Lim yang juga Speaker Dun Selangor berkata, soal pembayaran gaji amat penting kerana bimbang ia menganggu dan menjejaskan prestasi perkhidmatan kakitangan terbabit.

"Hal ini sangat serius, kerajaan perlu segera bertindak," katanya.

Beliau memberitahu, daripada 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini, MDSB berdepan isu kekangan kewangan paling kritikal.

Katanya, hasil pendapatan MDSB pula bergantung kepada sektor pertanian dengan hasil kutipan sekitar RM14 juta setahun.

Bagaimanapun, ujar beliau, kos keseluruhan pengurusan dan kutipan sisa pepejal pula mencecah sehingga RM20 juta

"Ini bermakna, setiap tahun MDSB akan menghadapi defisit antara lima hingga enam juta setahun," katanya.

Beliau berkata, langkah kerajaan negeri yang  menangguhkan sementara kutipan cukai pintu bagi rumah kampung tradisi, bagan dan kampung baharu juga menjejaskan pendapatan MDSB.

"Kita telah memanjangkan perkara ini kepada kerajaan negeri bagi memastikan MDSB dapat terus memberikan perkhidmatan berkualiti dan terbaik kepada rakyat di Sabak Bernam," katanya.

Sebelum ini, tular memo MDSB berhubung penangguhan pembayaran gaji Ogos 2018 di media sosial Facebook.

Memo itu dikeluarkan Yang Dipertua MDSB, Mohd Faizul Fitri Muslil bertarikh 13 Ogos lalu.

Memo itu menyatakan MDSB mengadapi masalah kewangan pada masa ini dan sehubungan itu, gaji bulan Ogos ditangguhkan pembayarannya ke satu tarikh yang akan dimaklumkan.