PELABUHAN KLANG, 27 Januari 2014 – Seorang lelaki dipercayai anggota pasukan keselamatan ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan kes melepaskan tembakan di sebuah pasar raya, di sini, kelmarin. Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek berusia 45 tahun itu ditahan reman sehingga Jumaat ini. “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh. Kita juga masih menyiasat punca sebenar kejadian,” katanya. Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, suspek dikatakan datang ke pasar raya berkenaan untuk bertemu isterinya yang berusia 30 tahun sebelum bertukar pertengkaran. Lelaki itu kemudiannya mengeluarkan sepucuk pistol, sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah cermin pasar raya berkenaan. Tembakan suspek bagaimanapun tidak mencederakan isterinya dan hanya mengenai cermin pasar raya berkenaan. Suspek kemudian menyerah diri ke balai polis berhampiran dan kita menahannya sebaik suspek memaklumkan dia melepaskan tembakan tersebut. |
Kemaskini pada 2014-01-27 16:14:59 daripada Admin ICT