|
KAPAR, 15 JUN 2014 - Secara keseluruhannya, Pemilihan Cabang PKR yang berlangsung untuk kali kedua hari ini masih perlu ditambah baik dan dikaji secara menyeluruh dari segi beberapa aspek yang dirasakan perlu. Menurut Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, parti perlu memberikan keutamaan terhadap persediaan untuk menghadapi pemilihan di Cabang-cabang yang terlibat. "Ini adalah kali kedua parti mengadakan pemilihan dengan sistem satu anggota, satu undi, banyak perkara yang perlu diteliti, dikaji semula untuk jadikan pemilihan akan datang lebih efektif dan mesra pengundi. "Antara perkara yang perlu ditambah baik dan diberikan keutamaan dalam pemilihan akan datang ialah sistem keanggotaan yang tidak di kemas kini dan sistem pengawalan yang tidak diselia dengan baik. "Ini adalah antara aspek yang perlu diambil berat untuk menghadapi pemilihan sebegini pada masa akan datang," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini. Beliau berkata demikian bagi mengulas keadaan persekitaran tempat pengundian Pemilihan Cabang PKR yang berlangsung di Dewan Sungai Pinang, Majlis Perbandaran Klang, Kapar. "Bukan itu sahaja, bila kita tengok sistem pengundian bernombor yang digunakan dalam pemilihan kali ini, ianya dikhuatiri akan mengelirukan dan menyusahkan pengundi. "Sistem pengawasan juga perlu diambil kira, perketatkan lagi sistem pengawasan supaya tidak terjadi lagi kekecohan atau perkara yang tidak diingini ketika pengundian berlangsung," tambahnya. Menurutnya lagi, beliau berharap pimpinan PKR perlu lebih bertanggungjawab untuk memperkemas dan memperkasakan perjalanan proses pengundian pemilihan yang berlangsung. "Pucuk pimpinan parti harus bersikap lebih terbuka, terima cadangan yang boleh diguna pakai demi penambahbaik, kita harus belajar dari kesilapan lepas," jelasnya. |
Kemaskini pada 2016-05-20 13:25:09 daripada Admin ICT