Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
Portal Rasmi

PEJABAT DAERAH DAN TANAH KLANG

Klang Daerah Impian, Makmur & Berwawasan
SELANGOR MAJU BERSAMA
office-icon

 

selangorSELAMAT DATANG [ TUTUP X ]
KE PORTAL RASMI
PEJABAT DAERAH/TANAH KLANG

KAJIAN KEPUASAN PELANGGAN

KLIK/SCANqr-code


ADUAN / MAKLUMBALAS KLIK/SCAN
qrcode-aduan

Warga Asing Monopoli Pasar Besar Meru

image
 
KLANG, 26 JULAI 2014– Kehadiran peniaga warga asing di Kompleks Pasar Besar Meru di Jalan Meru menimbulkan rasa kurang senang di kalangan peniaga tempatan hingga menimbulkan persaingan.

Khuatir dengan situasi itu, peniaga mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap peniaga tempatan yang didakwa mengalibabakan tapak perniagaan mereka kepada warga asing.

Perbuatan itu didakwa dilakukan peniaga tempatan yang ingin mengaut untung atas angin hasil daripada bayaran lebih tinggi dikenakan terhadap warga asing yang ingin menyewa tapak tersebut di pasar itu.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Pasar Klang (Klang Market Stall Holders Association), Michael Ong mewakili peniaga mendakwa, hampir 30 peratus peniaga warga asing menjalankan perniagaan di kompleks ini terutamanya di Blok B dan C.

“Mereka terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia yang majoritinya terlibat dalam penjualan barangan asas seperti sayur, buah-buahan, ayam dan ikan.

“Mereka kerap mengaku pekerja sedangkan jika disiasat, sebenarnya mereka adalah pemilik perniagaan di tapak itu. Mereka cuba menafikan,” katanya kepada Sinar Harian.


Apa bukti ada majikan?

Beliau mendakwa, kebanyakan warga asing ini menyewa tapak perniagaan daripada warga tempatan dan harganya disyaki lebih tinggi daripada harga asal sekitar RM100 ke RM300.

“Jika mereka mempunyai majikan, apa bukti? Kami hanya dapat lihat pemilik tapak hanya beberapa kali dalam sebulan itu pun bila pemeriksaan dijalankan pihak majlis.

“Mereka muncul apabila pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan terhadap kedai masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, monopoli warga asing ini seakan dilindungi pihak tertentu umpamanya apabila operasi dilakukan pihak berkuasa.

“Mereka masih tidak dikenakan tindakan termasuk pemilik tapak yang menyewakan tapak itu.

“Kami cadangkan empat jabatan daripada majlis harus terlibat sama ketika operasi di kompleks ini dilakukan termasuk Pegawai Jabatan Pengurus dan Penilaian Harta, Pegawai Jabatan PenguatKuasa, Pegawai Jabatan Undang-Undang dan Pegawai Jabatan Pelesenan agar tindakan tegas dapat dilakukan,” katanya.

Katanya, dia mewakili peniaga berharap kebanjiran warga asing berniaga di kompleks itu dapat ditangani dengan sewajarnya mengikut undang-undang termaktub.

“Perbuatan mengalibabakan perniagaan ini harus dipandang serius oleh pihak berkuasa demi kebaikan semua pihak,” katanya.


'Jangan asyik salahkan pihak majlis'

Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) Zon N44 (B) kawasan Sungai Pinang, Lee Sack Choon berkata, pihaknya mengakui memang wujud perbuatan peniaga tempatan mengalibabakan tapak perniagaan kepada warga asing.

“Saya akui masalah ini sukar diatasi jika persatuan asyik menuding jari kepada pihak majlis yang didakwa gagal dalam penguatkuasaan.

“Perkara ini harus dibanteras bersama antara pihak majlis, persatuan peniaga dan peniaga-peniaga di Kompleks Pasar Besar Meru sendiri.

“Tidak adil jika peniaga asyik menyalahkan pihak majlis yang tidak tegas sedangkan persatuan harus bekerjasama dalam isu ini. Kita harus bekerjasama bukan saling menuding jari,” katanya.

Menurutnya, sekiranya ada maklumat berhubung perbuatan itu sila salurkan kepada majlis dan tindakan lanjut akan diambil.

“Selepas menerima aduan ini daripada persatuan lebih sebulan lalu, kita sudah jalankan operasi pemeriksaan di Kompleks itu dan berjaya kesan seorang peniaga bagi tindakan lanjut.

“Kita perlukan peranan semua pihak dalam membanteras isu kegiatan dan jangan salahkan pihak majlis semata-mata,” katanya.

Jika wujud dakwaan itu, pihak majlis akan ambil tindakan tegas ke atas mereka yang terlibat.

“Kita tidak akan berkompromi lagi. Saya minta pengadu salurkan maklumat kepada majlis sama ada melalui talian Aduan atau datang sendiri ke pejabat aduan.

“Kita mahu aduan itu bersama maklumat lengkap termasuk lokasi yang spesifik bagi memudahkan majlis membuat siasatan,” katanya.

Katanya, isu ini sudah berlarutan sekian lama dan majlis memandang serius mengenainya.


Tiada kompromi

Sementara itu, Yang Dipertua MPK, Datuk Mohammad Yacob berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan peniaga warga asing termasuk peniaga tempatan yang bertindak mengalibabakan lesen perniagaan kepada warga asing.

“Jika wujud kegiatan tersebut, kita akan bertindak tegas dengan menamatkan lesen perniagaan mereka.

“Pihak majlis mempunyai garis panduan berhubung perkara ini dan kita tidak sekali-kali membenarkan warga asing menjalankan perniagaan di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata, jika wujud aduan berkenaan kegiatan itu, siasatan lanjut akan dijalankan.

“Tiada maaf bagi mereka yang terlibat dan tindakan tegas akan diambil.

“Saya harap orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu diminta memaklumkan kepada pihak berkuasa MPK segera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, kes jenayah melibatkan warga asing tidak banyak direkodkan.

“Mereka bukan penyumbang utama kadar kes jenayah di kawasan Klang Selatan.

“Kebanyakan kes jenayah seperti samun, merompak, meragut dan sebagainya dilakukan warga tempatan,” katanya.

Katanya, warga asing banyak terlibat dalam kes bergaduh sesama sendiri dan keadaan masih terkawal kerana polis sentiasa membuat pemantauan dan kawalan yang ketat.

Kemaskini pada 2016-05-20 12:45:37 daripada Admin ICT

  •  
  • Print
  • Email this page