![]() |
|
PANDAMARAN, 15 Oktober 2014 - Gara-gara tidak membawa dokumen pengenalan diri, seorang wanita berusia 23 tahun bertindak merayu berkali-kali kepada pihak berkuasa agar tidak menahannya. Dia adalah antara yang ditahan untuk pemeriksaan dokumentasi dalam satu serbuan Ops Cantas Khas Pusat Hiburan yang dijalankan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bersama Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sebuah pusat karaoke di sekitar Pandamaran, di sini awal pagi kelmarin. Apabila diminta memberikan nombor kad pengenalannya juga untuk dibuat semakkan, wanita itu turut enggan memberikan kerjasama selain memberi alasan tidak ingat nombor MyKad sendiri apabila diminta. Bagaimanapun, dia dilepaskan selepas pegawai polis bertugas memberi amaran keras dan mengingatkannya yang dia boleh hadapkan ke mahkamah serta boleh didakwa mengikut Peraturan 6, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, Ops Cantas Khas Pusat Hiburan itu bertujuan mengesan individu yang dikehendaki polis serta memastikan tiada berlakunya kegiatan jenayah di pusat hiburan di sini. |
Kemaskini pada 2016-05-20 12:35:31 daripada Admin ICT