KLANG, 15 Mac 2015– “Setiap kali masak ikan pari salai masak lemak cekur, saya mesti teringatkan arwah Azrul,” kata Saadiah Mohd Amin, ibu kepada Allahyarham Koperal Mohd Azrul Tukiran yang terkorban dalam insiden berbalas tembakan di Kampung Seri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah pada 2 Mac 2013. Itulah menu kegemaran Azrul, yang membuatkan naluri keibuannya bertambah rindu kepada anak keenam dari tujuh beradik itu. Meskipun dua tahun telah berlalu, ingatan terhadap Allahyarham masih segar. “Rindu sangat sampai tak boleh tidur. Setiap kali teringatkan, makcik akan tatap gambarnya. Dia sangat rapat dengan adik-beradik dan anak buah. Kami terasa kehilangan,” ujarnya ketika ditemui di majlis tahlil Allahyarham di kediamannya, di Kampung Rantau Panjang, semalam. Majlis tahlil itu dihadiri kira-kira 250 tetamu serta wakil Polis Diraja Malaysia dari Ibu Pejabat Polis Tawau dan Ibu Pejabat Polis Klang Utara. Sementara itu, Tukiran Ahmad memberitahu seperti baru semalam kejadian itu berlaku, walhal dua tahun Azrul meninggalkan mereka. “Azrul sentiasa ada dalam hati,” ujarnya yang terharu dengan keprihatinan pelbagai pihak termasuk Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim. “Baru-baru ini, Tunku Abdul Jalil menghubungi kami dan bertanyakan khabar,” katanya sambil memberitahu anaknya itu adalah sahabat kepada Tunku Abdul Jalil. Mohd Azrul, 27, dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, Sabah, antara enam pegawai dan anggota polis yang terkorban dalam serangan hendap kumpulan bersenjata di perkampungan air itu. Selain Allahyarham Mohd Azrul, turut terkorban Superintendan Ibrahim Lebar, 52; Sarjan Abdul Azis Sakirun, 48; Koperal Salam Togiran, 42; Asisten Superintendan Michael Padel, 36 , dan Sarjan Baharin Hamid, 49. Manakala dalam kejadian di Lahad Datu, dua anggota komando VAT69 yang terkorban adalah Sarjan Sabarudin Daud, 46, dan Asisten Superintendan Zulkifli Mamat, 29. |
Kemaskini pada 2015-03-16 07:40:48 daripada Admin ICT