KLANG 13 Julai 2015 - Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyumbangkan pek makanan kepada golongan memerlukan melalui program Singgah Sahur, kelmarin. Pengurus Besar Pejabat Agihan LZS, Abd Basith Abd Hamid berkata, program ini merupakan sebahagian daripada roh zakat itu sendiri iaitu mencari mereka yang memerlukan dengan mengagihkan wang zakat. Katanya, zakat yang dikumpulkan diagihkan dalam bentuk pek makanan kepada golongan gelandangan dan penjawat awam yang bekerja pada waktu malam. “Kami akan cari dan bantu golongan gelandangan di beberapa buah tempat sekitar bandar Klang dan menyampaikan pek makanan kepada kakitangan awam yang mengorbankan waktu tidur mereka dan meninggalkan keluarga di rumah pada waktu malam kerana tugas seperti doktor, polis dan bomba,” katanya kepada Sinar Harian. Menurutnya, kira-kira 250 pek makanan berupa nasi campur dan minuman botol bernilai RM2,300 diagihkan kepada golongan sasaran. Katanya, sumbangan yang diberikan ini berada di bawah kategori Fisabilillah dan sesiapa sahaja layak menerimanya selagi mereka beragama Islam. “Sumbangan yang diberikan mungkin satu hari sahaja tapi sekurang-kurangnya kami berjaya buat perubahan dari sudut lain iaitu mengajak mereka meneruskan amalan sahur,” katanya. |
Kemaskini pada 2016-05-20 12:19:46 daripada Admin ICT