Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau tidak menafikan bas yang menyediakan perkhidmatan percuma kepada penduduk Selangor itu kini dipenuhi dengan warga asing.

Beliau berkata, kerajaan negeri sukar untuk menyekat mana-mana warga asing yang mahu menaiki bas berkenaan.

“Memang kita ada terima aduan sebahagian penumpang adalah warga asing, namun perkara tersebut bertepatan dengan prinsip asas kerajaan negeri iaitu menyediakan perkhidmatan ini kepada mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana bagi menampung kos sara hidup.

"Orang ramai perlu menerima hakikat bahawa warga asing juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan negeri ini,” katanya selepas menyertai 'Ampang Jaya Night Run 2016', di sini, semalam.

Menurutnya, memang kerajaan negeri mahu memberikan perkhidmatan tersebut (Bas Selangorku) kepada rakyat negeri Selangor tapi pada masa sama, sukar untuk menghalang mereka daripada menggunakan perkhidmatan yang sama.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin berkata, perkara pokok yang harus ditekankan ialah perkhidmatan Bas Selangorku itu sendiri dan bukan penumpangnya.

“Apa yang penting ialah perkhidmatan ini harus cekap, efisien dan memberi peluang kepada pengguna untuk memanfaatkannya,” katanya.

Bas Selangorku yang dilancarkan pada Julai tahun lalu merupakan khabar gembira buat penduduk negeri Selangor yang berpendapatan rendah, namun kegembiraan tersebut bertukar mimpi ngeri apabila warga asing tidak ketinggalan menggunakan perkhidmatan berkenaan sebaik sahaja dilancarkan.