hubungi-kami

Hubungi
Kami

faq

Soalan
Lazim

maklumbalas

Aduan &
MaklumBalas

peta-laman

Peta
Laman

webmail

Webmail
 

01 Julai 2021 - Sinar Harian - Tukang kasut kurung teman wanita didenda RM6,000

image

SELAYANG - Tindakan seorang tukang kasut mendatangkan kecederaan dan mengurung kekasihnya selama enam hari membawa padah apabila didenda RM6,000 atau penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.


Yee Lee Shong, 48, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nik Fadli Nik Azlan.

Bagi kesalahan mengurung, Lee Shong didenda RM5,000 atau penjara enam bulan, manakala bagi kesalahan mendatangkan kecederaan, lelaki itu didenda RM1,000 atau penjara dua bulan.


Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengurung teman wanitanya berusia 40 tahun selama enam hari.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Taman Daya Kepong di sini antara 7 Jun dan 12 Jun.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 343 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara bagi pertuduhan kedua, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa sama pada jam 11 pagi, 7 Jun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada 7 Jun lalu, berlaku perselisihan faham antara mangsa dengan tertuduh.

Tertuduh kemudian bertindak memukul mangsa sebelum mengurung wanita itu di bilik dan merantai kedua-dua belah kakinya.

Pada 12 Jun, mangsa berjaya melepaskan diri dengan bantuan jiran dan membuat laporan polis.

Semasa prosiding, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Mariappan yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya diberi hukuman berbentuk denda yang minima.

"Sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pendapatan anak guam saya agak tidak menentu.

"Ketika kejadian, dia bergaduh dengan mangsa kerana teman wanitanya itu tidak pulang ke rumah,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisak Hassni memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

"Ini kerana mangsa telah dikurung selama enam hari selain mengalami kecederaan, malah digari menggunakan rantai basikal," katanya.


Kemaskini pada 2021-07-07 12:30:19 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page