
GOMBAK - Cat kuning yang pudar pada bonggol dan petak kuning di lampu isyarat serta jalan masuk ke lorong kawasan perumahan di sepanjang Jalan 11 Selayang Baru perlu dicat semula.
Penduduk di Selayang Baru, Mohd Zain Milin,60, berkata, keadaan tersebut membahayakan pengguna dan inisiatif mengecat semula tanda amaran itu membolehkan pengguna lebih berwaspada.
“Saya yang tinggal di sebelah jalan beberapa kali terdengar dentuman disebabkan ada pengguna yang tidak perasan bonggol kerana warna catnya
yang sudah pudar.
“Petak kuning yang pudar juga memberikan masalah kepada penduduk yang mahu masuk ke lorong kawasan rumah apabila pemandu yang menunggu di lampu isyarat merah memberhentikan kenderaan di dalam petak itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, dia berharap pihak berkenaan menerima aduan ini dan selepas ia dicat semula pengguna akan mematuhi isyarat lalu lintas berkenaan.
Kemaskini pada 2016-02-15 10:50:27 daripada Administrator