hubungi-kami

Hubungi
Kami

faq

Soalan
Lazim

maklumbalas

Aduan &
MaklumBalas

peta-laman

Peta
Laman

webmail

Webmail
 

Berita Harian - 12 Januarai 2018 ( Penyelidik UIAM terima Anugerah Raja Faisal 2018 )

image

 

GOMBAK: Penyelidik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM), Prof Dr Irwandi Jaswir dianugerahkan Hadiah Antarabangsa Raja Faisal 2018 bagi kategori Sumbangan Kepada Islam daripada Yayasan Raja Faisal, naungan kerajaan Arab Saudi.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Komunikasi Korporat UIAM di sini hari ini, pemilihan itu dibuat melalui Jawatankuasa pemilihan Hadiah Antarabangsa Raja Faisal 2018 yang mengumumkan senarai penerimanya semalam.

Raja Arab Saudi, Raja Salman Raja Abdulaziz Al-Saud akan menyampaikan anugerah itu dalam satu majlis khas yang tarikhnya belum ditetapkan lagi.

Dr Irwandi, 48, yang berasal dari Medan, Indonesia ketika ini menyandang jawatan Timbalan Dekan (Akademik, Penerbitan dan Penyelidikan) Institut Antarabangsa Penyelidikan dan Latihan Halal (INHART) UIAM.

Beliau terkenal dalam bidang penyelidikan halal yang merangkumi sektor perkhidmatan, makanan dan barangan kepenggunaan.

Anugerah berkenaan adalah satu pengiktirafan tertinggi untuk sumbangan Irwandi melalui UIAM dalam bidang Teknologi dan Pembangunan Sains Halal.

Penganugerahan ini adalah pengiktirafan hasil kerja pasukan beliau dalam membangunkan kaedah baharu untuk menganalisis bahan dalam pembuatan makanan halal dan mewujudkan prosedur praktikal dalam penghasilan gelatin halal dari pelbagai sumber bukan porcine seperti unta dan ikan.

Irwandi dan pasukan penyelidik juga menghasilkan kit mudah alih pengesan bahan bukan halal dalam makanan, kosmetik dan barangan kepenggunaan untuk melindungi pengguna Islam.

Kit itu juga dapat mengenal pasti dan mengesan dalam beberapa saat akan kehadiran bahan alkohol dan lemak babi (lemak berasas porcine) dalam makanan dan minuman.

Menurut kenyataan itu lagi, Hadiah Antarabangsa Raja Faisal adalah pengiktirafan yang diberikan setiap tahun. Anugerah ini diberikan kepada insan yang banyak memberi sumbangan dan impak kepada dunia Islam.

Anugerah ini dibahagikan kepada lima kategori iaitu Sains, Perubatan, Bahasa dan Kesusasteraan Arab, Pengajian Islam dan Sumbangan kepada Islam (sumbangan individu dari segi penyelidikan, pemikiran, kepimpinan).

Sementara itu, Irwandi berkata, anugerah itu adalah satu pengiktirafan dalam dunia pendidikan dan penyelidikan yang dilakukannya untuk memberi manfaat kepada umat Islam di seluruh dunia.

"Saya amat terkejut dan pada masa sama amat bersyukur kerana sumbangan dan penyelidikan saya dalam bidang halal mendapat pengiktirafan dan saya berterima kasih kepada semua pihak atas kejayaan ini," katanya.


Kemaskini pada 2018-01-19 16:00:37 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page