Sinar Harian - 18 Februari 2018 ( Tikam pekerja kedai runcit sebelum gantung diri )

GOMBAK - Seorang pekerja kedai runcit maut ditikam, manakala seorang lagi cedera dalam kejadian di Taman Selayang, Batu Caves, di sini, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian terbabit kira-kira jam 12.58 tengah malam berhubung terdapat beberapa lelaki bergaduh di sebuah kedai runcit.
Menurutnya, siasatan mendapati kejadian melibatkan dua lelaki warganegara India dan seorang warga tempatan.
"Seorang mangsa berusia 51 tahun mati ditikam, manakala pemilik kedai runcit berusia 41 tahun yang juga merupakan warga tempatan cedera di bahu dan kepala.
"Selepas menikam mangsa, suspek dikatakan telah menggantung diri di dalam kedai runcit tersebut," katanya.
Beliau berkata, menurut saksi, suspek yang juga warganegara India menggunakan objek tajam telah menikam mangsa pertama, sebelum mencederakan mangsa kedua yang cuba meleraikan pergaduhan.
Tambahnya, mayat telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
"Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.