hubungi-kami

Hubungi
Kami

faq

Soalan
Lazim

maklumbalas

Aduan &
MaklumBalas

peta-laman

Peta
Laman

webmail

Webmail
 

Berita Harian - 20 Februari 2018 ( Myvi bukan lagi model 'ciplak' )

image

RAWANG: Pengenalan model terkemuka Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), Myvi serba baharu melenyapkan stigma sesetengah pihak yang sebelum ini sering mengaitkannya sebagai kereta kompak tukar 'lambang' dari model Daihatsu.

Timbalan Pengurus Besar Reka Bentuk dan R&D PERODUA, Muhamad Zamuren Musa, menegaskan Myvi serba baharu yang diperkenalkan November lalu mendapat sentuhan anak tempatan sepenuhnya dari segi reka bentuk.

Beliau berkata, menerusi kereta kompak generasi ketiga itu, PERODUA menerapkan keperluan masa depan bagi membolehkan ia sesuai sehingga tempoh lima hingga tujuh tahun selepas berada di pasaran.

"Kami juga membuat kajian ke atas model terkemuka untuk membawa reka bentuk premium untuk kereta kompak mampu milik ini. Istilah 'ciplak' atau tukar 'lambang' tidak lagi wujud untuk Myvi serba baharu ini kerana setiap perincian direka dengan teliti dalam memastikan ia adalah idea terbaik untuk kereta terbaik.

"Pembangunan model Myvi serba baharu itu dimulakan sejak tahun 2015, namun mengambil kira keperluan masa depan sehingga sesuai untuk satu tempoh masa lebih lama. Ia adalah rekaan seratus peratus dari Malaysia," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat PERODUA dekat sini, baru-baru ini.

Muhamad Zamuren berkata, mereka bentuk Myvi serba baharu bukannya satu tugas mudah kerana ia perlu menepati kehendak serta keperluan pelanggan sasar, kos yang ditetapkan dan elemen dinamik serta praktikal yang dimahukan PERODUA.

Selain itu, katanya dengan penerimaan menakjubkan rakyat Malaysia ke atas model Myvi apabila sudah dijual lebih sejuta unit sejak tahun 2005, ia perlu memenuhi jangkaan tinggi semua pihak berkepentingan.

"Kami perlu mengekalkan 'perasaan' pelanggan dalam Myvi serba baharu ini. Ia sesuatu yang sukar kerana pada awal pembangunannya pada 2015, kami perlu menerapkan rekaan masa depan yang disasarkan bertahan untuk lima hingga tujuh tahun akan datang.

"Pasukan kami juga perlu menerapkan komitmen PERODUA dalam Myvi serba baharu yang mahukan kereta yang dinamik dan praktikal. Untuk mengekalkan status ikoniknya, kami menambah baik beberapa elemen model sebelumnya supaya identitinya terus dikekalkan.

"Komitmen kami untuk Myvi serba baharu ini sangat tinggi kerana apa pun direncanakan ia seharusnya memenuhi kos yang ditetapkan kerana ia adalah kereta rakyat yang ditawarkan pada harga mampu milik," katanya.

Beliau berkata, Myvi serba baharu yang menjadi model kedua yang direkabentuk sepenuhnya PERODUA selepas model sedan pertamanya, Bezza, dibangunkan penuh ketelitian supaya ia kekal menjadi ikonik kompak utama di Malaysia.

"Pada peringkat permulaan, kami melaksanakan enam kaji selidik ke atas 60 hingga 150 responden bagi setiap sesi di seluruh negara sebelum lakaran konsep dibuat pasukan saya," katanya.

PERODUA kini disokong oleh 59 kakitangan daripada pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D), yang rata-ratanya berpengalaman lebih 10 tahun di syarikat itu.

Pasukan itu membangunkan Myvi serba baharu bermula dari konsep hinggalah model fizikal daripada tanah liat dalam masa sembilan bulan selain membabitkan ratusan lakaran, sebelum dua daripadanya dipersetujui oleh Ahli Lembaga Pengarah.

Pencapaian terbaik PERODUA yang membangunkan model kompak paling berjaya di Malaysia itu melepasi jangkaan rakyat Malaysia dan ia diterima secara meluas sehinggakan lebih 40,000 unit ditempah pada masa ini.

Meskipun ada segelintir menyifatkan reka bentuk Myvi generasi ketiga itu seiras dengan dengan beberapa model jenama terkemuka dari Eropah dan Amerika Syarikat (AS), bagi Muhamad Zamuren, ia adalah sesuatu yang perlu dibanggakan selain menegaskan reka bentuknya digagaskan oleh pasukannya.

"Apapun anggapan segelintir pihak, kami sebenarnya berbangga kerana mereka menyamakan dengan model antarabangsa dan terkemuka. Ia menjelaskan bahawa produk PERODUA kini setaraf dengan produk keluaran syarikat gergasi automotif dunia," katanya.


Kemaskini pada 2018-02-20 15:36:43 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page