SHAH ALAM, 4 JAN: Kerja pembersihan pascabanjir di Taman Sri Muda di sini dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya
minggu ini.
Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor berkata setakat ini 11,919 tan sampah pukal telah dibawa keluar
dari kawasan berkenaan.
“MBSA bersama KDEB Waste Management (KDEBWM) menguruskan sampah di kawasan banjir dan boleh dikatakan
sebahagian kawasan telah mencapai 100 peratus.
“Namun di Taman Sri Muda kawasan yang terjejas adalah besar dan ketika ini sudah lebih 60 peratus diselesaikan. Insy-Allah
kita cuba selesaikannya minggu ini juga,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan dari Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menerusi Persatuan Bulan
Sabit Merah di Wisma MBSA semalam.
Zamani berharap mangsa banjir khususnya kawasan perindustrian dapat membuang sampah di stesen pemindahan sementara
(TS) yang disediakan.
“Saya minta jangan buang di tepi jalan raya, di kawasan perumahan kerana kita sudah bersihkan tetapi perlu lakukannya berulang
kali kerana masih ada yang buang keesokannya,” katanya.
Sehingga kini sebanyak 28,506 tan metrik sisa banjir dikutip di kawasan pentadbiran MBSA mulai hujung Disember hingga semalam.
Infografik dikongsi MBSA di Twitter menunjukkan sebanyak 12 dari 21 lokasi terjejas selesai dibersihkan dengan kutipan harian
berjumlah 3,042 tan metrik.
Kerja pembersihan itu melibatkan 250 petugas pihak berkuasa tempatan berkenaan, 65 dari KDEBWM dan 45 sukarelawan
menggunakan 207 lori serta 60 pengorek kaut.
Sumber : https://selangorkini.my/
Kemaskini pada 2022-01-10 12:23:12 daripada FARAH